Alor Gajah : Sebelum kemasukan Zuraida, PBM berhasrat mahu menyertai BN untuk gabungan pilihanraya. Namun sehingga hari ini, Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah mengesahkan bahawa pihaknya belum menghantar sebarang permohonan rasmi untuk menyertai BN sebagai persiapan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kata putus berhubung perkara itu akan dimuktamadkan kepemimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat, memandangkan status kerajaan Persekutuan pada hari ini yang terdiri daripada gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu diambil kira.
“Perkembangan itu, kita ketika ini saya masih belum masuk lagi surat permohonan untuk menganggotai BN dan insya-Allah, dalam masa terdekat akan saya muktamadkan dengan kepimpinan tertinggi.
“Tapi, saya tak tahu, PN itu selalu gaduh dengan BN, jadi, itu kerajaan sekarang. Saya dahulu ada offer (tawarkan) dengan PN untuk saya bersama mereka kerana saya hendak membantu memperkukuhkan mereka dengan sebuah parti multiracial(berbilang bangsa), parti yang dipimpin seorang wanita,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Koko Ting Agro Enterprise (TAE), Kampung Panchor di sini hari ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid juga mengesahkan BN belum menerima permohonan rasmi daripada PBM untuk menyertai gabungan itu.
Presiden PBM, Larry Sng dilaporkan berkata, permohonan parti itu untuk menyertai BN masih dalam proses.
Kata Larry, PBM memberi mandat kepada Zuraida untuk mengetuai delegasi dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain, terutama berhubung perbincangan untuk membentuk kerjasama politik.