PUTRAJAYA: A Tech Insure Sdn Bhd melalui anak syarikatnya myezycover.com, baru melancarkan kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus semalam. Ia akan memanfaatkan sejumlah 1.6 juta Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia.
Mengumumkan program penyelesaian kewangan digital kali pertama diperkenalkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, golongan itu kini boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan.
Menerusi kemudahan itu, mereka boleh menikmati bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).
Ia adalah satu bentuk pembiayaan berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan iaitu pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba.
Ia adalah khusus untuk penjawat awam.
“Ini bagi memastikan kenderaan dan penumpang dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya ketika berucap melancarkan program myezycover.com di sini hari ini.
Melalui myezycover.com inisiatif Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan penyedia platform pembiayaan kewangan, A Tech Insure Sdn Bhd, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari iaitu ‘Mudah, Jimat dan Pantas’.
(Dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia. Foto : PanduLaju)
Ini termasuk Nota Perlindungan Insurans boleh diperoleh hanya dalam tempoh hanya lima minit.
Syarat penjawat awam untuk melayakkan diri mereka dengan inisiatif ini ialah, nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan.
Ia sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam tanpa berorentasikan komersial sebaliknya membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan.
Pada masa sama, kata beliau, dengan usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan.
Kerajaan juga berhasrat memperluaskan inisiatif berkenaan kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat.