KUCHING (7 Jun): Sarawak akan meneroka kemungkinan kerjasama dengan Brunei dan Indonesia untuk membangunkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF – Sustainable Aviation Fuel) daripada alga.
Perdana Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak dan kepulauan Borneo secara keseluruhannya kaya dengan alga yang boleh digunakan untuk tujuan itu.
Sebagai permulaan, beliau berkata Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC – Sarawak Economic Development Corporation) akan menubuhkan makmal untuk menjalankan penyelidikan lanjut mengenai perkara itu.
Ketua Menteri Sarawak itu mempeunyai visi kerjasama Brunei dan Indonesia untuk menjadi pengeluar SAF.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata Sarawak juga boleh memanfaatkan ekosistem kawasan pantainya untuk penanaman alga.
“Kita juga perlu mengetahui berapa banyak tan alga yang diperlukan untuk menghasilkan satu gelen bahan api. Kita kena kaji dulu,” katanya.
Dalam ucaptama di Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda pada 9 Mei, Abang Johari berkata SEDC Sarawak bekerjasama dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dalam pembangunan biofuel, hidrogen hijau dan sel bahan api untuk penerbangan.
Beliau berkata bahan api penerbangan alternatif seperti SAF boleh menjadi kunci kepada perjalanan udara yang mampan, menyumbang besar kepada strategi pengurangan pencemaran pelepasan industri dan matlamat pelepasan sifar karbon.