SHANGHAI, 25 Jun ― Presiden China Xi Jinping akan melawat Hong Kong untuk ulang tahun ke-25 penyerahan bandar itu kepada tanah besar China, lapor agensi berita Xinhua hari ini.
Lawatan itu akan menjadi lawatan pertama Xi di luar tanah besar China sejak Januari 2020 selepas wabak Covid-19. Beliau juga akan menghadiri majlis perasmian kerajaan penggal keenam Hong Kong, tambah Xinhua.
John Lee akan menjadi pemimpin baharu bandar itu pada 1 Julai, menggantikan Carrie Lam, yang menyelia beberapa masa paling huru-hara di wilayah itu dengan protes anti-kerajaan dan Covid-19.
(Carrie Lam – Ketua Eksekutif Kerajaan Hong Kong sejak 2017)
Xi juga menyelia majlis angkat sumpah Lam pada 2017, ketika dia berada di Hong Kong untuk meraikan ulang tahun penyerahan kali terakhir.
Kunjungan Presiden itu menadi tidak pasti pada minggu lepas kerana penyebaran wabak Covid19 yang baru. China mengamalkan dasar Covid yang ketat dan sekatan perjalanan yang bertujuan untuk menghapuskan semua wabak, pada apa-apa kos, bertentangan dengan trend global untuk cuba hidup bersama virus itu (endemik).
Pengkritik berkata, ulang tahun penyerahan ke-25 Hong Kong adalah penting bagi China yang menyaksikan bandar itu stabil daripada protes pro-demokrasi besar-besaran pada 2019, selepas pelaksanaan undang-undang keselamatan negara, dan pembaharuan pilihan raya yang memastikan hanya “patriot” boleh bekerja dalam kerajaan dan badan penggubal undang-undang.
(Demonstrasi anti China di Hong Kong pada tahun 2019)
Lee merupakan seorang bekas anggota polis tertinggi yang bertukar menjadi penjawat awam, telah berjanji untuk mengekalkan cengkaman kukuh di bandar itu di bawah undang-undang keselamatan, selaras dengan kepentingan kedaulatan China.
(John Lee – Ketua Eksekutif kerajaan Hong Kong yang baharu)
Hong Kong telah diserahkan kepada China pada 1 Julai 1997, selepas 156 tahun pemerintahan kolonial British.