JOHOR BARU, 24 Jun — Timbalan Ketua Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini mencabar pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mempunyai jawatan menteri dalam kerajaan untuk bertanding di parlimen Pulai bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau mengalu-alukan pemimpin BN atau UMNO yang melabelnya sebagai “kluster kalah” pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu untuk bertanding sebagai calon di kerusi Pulai pada PRU15 ini, kerana beliau tidak akan merebut semula kawasan itu untuk Umno dan BN.
Bekas Ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal itu berkata beliau mengalu-alukan pemimpin Umno yang menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membuktikan kekuatan mereka.
“Memandangkan mereka membandingkan kekalahan saya sebelum ini dengan kemenangan mereka di kerusi parlimen selamat masing-masing, saya mengalu-alukan ‘wira Umno’ ini untuk bertanding di Pulai,” katanya sambil menambah kebanyakan pengkritiknya menang di kawasan majoriti Melayu yang menyokong Umno.
Nur Jazlan mencabar pengkritiknya dari BN itu untuk bertanding di kerusi bandar seperti Pulai, Johor Baru dan Pasir Gudang, di mana nisbah pengundi Melayu-Cina hampir sama.
“Rasakan sendiri betapa peritnya untuk menarik undi terutama kaum Cina. Pada masa sama, mereka boleh cuba memujuk pengundi Melayu bandar untuk keluar dan melihat sama ada mereka akan menyokong BN seperti sebelum ini atau tidak,” kata Nur Jazlan dalam catatan di Facebook rasminya di sini hari ini.
Posting berupa sindiran itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap kritikan sebelum ini oleh beberapa menteri BN berhubung kenyataannya yang melabel Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri paling lemah dalam sejarah negara kerana Ismail didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menggunakan kuasanya.
(Nur Jazlan)
Nur Jazlan juga pernah mempersoalkan kesetiaan beberapa pemimpin Umno yang diketahui mempunyai kaitan rapat Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sekutunya PAS dalam gabungan PN.
Nur Jazlan berkata supaya tidak samakan Pulai dengan kawasan Melayu majoriti.
Jelasnya, berdasarkan data keputusan pilihan raya negeri Johor baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa BN akan kalah di kerusi parlimen yang komposisi kaum bukan Melayu lebih ramai atau menyamai penduduk Melayu.
“Dengan peratusan pengundi sekarang yang agak rendah, serta tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan BN, saya tahu saya akan kalah jika bertanding (di Pulai).
Nur Jazlan berkata keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini bagi kerusi DUN Kempas dan Perling yang membentuk DUN Pulai memberi gambaran suram baginya jika beliau bertanding.
“Sebagai akauntan terlatih, angka mesti diterima sebagai kebenaran. Apabila seseorang mengira dan hasilnya keluar sebagai ‘0’, itu adalah hakikat bahawa anda tidak boleh menukar angka itu kepada sesuatu yang lebih tinggi,” katanya.
Nur Jazlan turut mengeluh bahawa PRU14 pada 2018 telah cukup mengajarnya untuk mengetahui betapa orang Cina tidak menghargainya di Pulai.
Katanya, walaupun dirinya adalah separuh berketurunan Cina tetapi masyarakat Cina setempat tetap tidak memberi sokongan kepadanya.
“Jadi, cukuplah buat masa ini dan biarkan orang lain berpeluang bertanding di sini,” katanya.
Bagaimanapun, Nur Jazlan menambah terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan siapa yang akan bertanding di Parlimen Pulai.
Beliau juga secara sinis mencadangkan agar presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, berpindah dari parlimen Ayer Hitam ke parlimen Pulai supaya Wee Ka Siong boleh membuktikan bahawa orang Cina telah kembali menyokong BN.
Nur Jazlan juga mempelawa Nazri Aziz untuk bertanding di parlimen Pulai di mana Nazri sentiasa berbangga dengan kemenangan besarnya di kawasan majoriti Melayu (Padang Renggas).
“Mungkin dengan ketokohannya sebagai salah seorang ahli parlimen paling kanan dalam BN, Nazri boleh menang besar di Pulai. Pada masa itu, beliau boleh bermegah bahawa beliau adalah hero dan hulubalang sebenar dalam Umno dan BN,” katanya.
Nur Jazlan turut menamakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk mempertimbangkan tawarannya bertanding sebagai calon di Pulai.
Beliau berkata ahli parlimen Umno Rembau juga telah melakukan pengorbanan besar dengan ‘rela hati’ menyerahkan parlimen Rembau kepada timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan untuk pilihan raya umum akan datang.
“Saya berbesar hati untuk memberi laluan kepada KJ yang sedang mencari kerusi lain untuk bertanding pada PRU15.
“Saya juga berpendapat kerusi Pulai sesuai untuk KJ kerana nisbah pengundi berbilang kaum iaitu 48 peratus Melayu; 40 peratus Cina; 12 peratus India menjadikan jumlah keseluruhan 160,000 pengundi berdaftar,” katanya.
Nur Jazlan menambah bahawa kerusi Pulai adalah seperti kerusi parlimen Keluarga Malaysia kerana majmuknya komposisi kaum.