KUALA LUMPUR (23 Jun): Ahli UMNO wajar menyokong kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri supaya memimpin negara untuk menyelesaikan pelbagai isu yang sangat mencabar yang belum pernah dialami oleh mana-mana Perdana Menteri lain.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan ahli parti UMNO yang memperlekehkan Perdana Menteri kesembilan itu, secara terbuka, tidak menunjukkan semangat parti yang baik.
“Tidakkah kita malu orang parti kita cuba melemahkan PM (Perdana Menteri) yang dari parti kita hanya dengan 38 kerusi?” katanya pada sidang media.
(Annuar Musa)
Annuar berkata kepimpinan Ismail Sabri perlu disokong kerana beliau terpaksa menangani pelbagai isu antaranya, pandemik Covid-19, menguruskan kesan kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan Pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).
“Perkara ini meletakkan PM Datuk Seri Ismail Sabri dari UMNO dalam keadaan yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain. Jadi adalah tidak wajar untuk menjatuhkan PM daripada parti anda sendiri, PM yang diperakui oleh UMNO dan yang mewakili UMNO,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri paling lemah daripada UMNO dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menggunakan kuasanya.
(Nur Jazlan)
Annuar berkata walaupun ahli-ahli bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kesilapan dalam membuat kritikan kepada Perdana Menteri daripada UMNO itu.
“Beliau (Nur Jazlan) tiada dalam kerajaan jadi banyak perkara yang dia tidak sedar…sebab dia tidak rapat dengan PM, banyak lagi yang dia tidak tahu, dan kalau dia ada motif, oleh itu dia dipengaruhi oleh kecenderungan politiknya sendiri.
“Bagaimana PM akan mewakili partinya yang hanya mempunyai 38 kerusi selain memerangi Covid-19 dan cabaran ekonomi, kita harus membantu dan bersimpati kepadanya, bukannya membuat dakwaan tidak berasas,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.
Annuar turut mempersoalkan tindakan segelintir ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti mereka sendiri apabila ada yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri.
Nur Jazlan mengkritik Ismail Sabri kerana lewat menguruskan persoalan mengenai jawatan Zuraida. Ia menunjukkan PM berada dalam keadaan bercelaru dan mencerminkan kedudukannya yang lemah.
“Beliau tidak boleh buat keputusan atau menegaskan kuasanya kerana menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu.
“Sudah lebih dua minggu (Zuraida) meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan beliau masih dalam Jemaah Menteri.
“Tidak pernah seorang perdana menteri Umno selemah ini dalam sejarah negara”, katanya.
Presiden Bersatu pada masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap menegaskan jawatan kementerian itu adalah milik Bersatu (kuota).
Selain Annuar Musa yang dilihat sebagai ‘kluster menteri UMNO’ yang sering mempertahankan kerajaan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga menyelar tindakan Nur Jazlan dan ahli-ahli UMNO yang menyerang kepimpinan Perdana Menteri.
KJ berkata Nur Jazlan perlu menggunakan saluran yang betul dalam mengkritik kepimpinan kerana tindakan itu mengundang tanggapan bahawa Umno tidak bersatu sekali gus boleh menjejaskan peluang parti itu dalam pilihan raya.
Seorang lagi menteri UMNO, Kementerian Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga membantah kritikan Nur Jazlan itu.
(Mahdzir Khalid)
Ketua Penyelidikan Politik TLR Solutions & Technology, Dr Wong See Liew berkata secara umum bahawa apa yang dihadapai oleh Ismail Sabri kini lebih teruk daripada apa yang dihadapi oleh Perdana Menteri ke 8 sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
”Apabila anda memegang jawatan tertinggi negara bukan melalui mandat pilihanraya, seperti passing card sahaja, anda lemah dan tidak dihormati.
“Sekurang-kurangnya Muhyiddin tidak dihentam oleh ahli partinya sendiri semasa Perdana Menteri berbanding UMNO di mana mereka bercakaran sesama mereka. Rakyat lihat jelas sikap sebenar UMNO, masih belum berubah”, ujarnya