LUNDU (Sarawak), 22 Jun — Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mempertimbangkan terlebih dahulu pandangan tiga Adun di kawasan parlimen Puncak Borneo sebelum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan ahli parlimennya, Datuk Willie Mongin untuk menyertai parti itu.
Naib Presiden PBB Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pandangan daripada Datuk Roland Sagah Wee Inn yang merupakan Adun Tarat, serta Datuk Dr Jerip Susil, Adun Mambong dan Miro Simuh, Adun Serembu akan diambil kira sebelum perkara itu diputuskan.
Mesyuarat dengan pemimpin akar umbi seperti Ketua Masyarakat Bidayuh di kawasan itu turut akan dilakukan terlebih dahulu, menurutnya kepada pemberita selepas melancarkan Laluan Persahabatan Antarabangsa Miss Tourism di sini hari ini.
Willie, yang juga timbalan menteri industri perladangan dan komoditi yang kini ahli Bersatu, telah mengesahkan pada hari Isnin lalu bahawa beliau telah mengemukakan permohonannya untuk menyertai PBB beberapa bulan yang lalu dan berkata selama ini, beliau telah “berada dalam Bersatu secara teknikal” untuk menyokong kerajaan sedia ada.
Beliau memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket PKR tetapi diketepikan oleh parti itu selepas menyertai beberapa ahli parlimen PKR yang menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa Langkah Sheraton pada tahun 2020 sebelum menyertai Bersatu. — Bernama