AMPANG, 10 Jun — Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengesahkan beliau masih belum bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukannya dalam Kabinet selepas keluar dari Bersatu.
Ahli Parlimen Ampang itu, yang secara rasmi diisytiharkan sebagai ahli dan bakal presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini, turut menyatakan kesanggupannya bagi terus menjadi menteri industri perladangan dan komoditi, walaupun telah menawarkan untuk meletakkan jawatan dua minggu lalu.
Menurut sumber, PM kini berada di Kedah untuk menghadap Sultan Kedah.
Zuraida berkata beliau bersedia jika diberi peluang untuk terus menerajui kementerian
Presiden PBM Larry Sng memberitahu pemberita beliau berharap PM akan mengekalkan Zuraida sebagai anggota Kabinet walaupun beliau telah bertukar parti. Tambah beliau, Zuraida telah menunjukkan prestasi memberangsangkan sebagai menteri setakat ini.
(Larry Sng – Presiden Parti Bangsa Malaysia)
Zuraida, yang juga merupakan ahli lama PKR, mula menjadi menteri apabila gabungan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya 2018.
Beliau kekal sebagai menteri selepas kerajaan PH tumbang pada awal 2020 selepas keluar dari PKR, bersama beberapa ahli parlimen lain daripada parti itu dan menyertai Bersatu.
Perkembangan berkaitan PBM, Larry Sng memberitahu pemberita bahawa PBM merancang untuk menyertai gabungan Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat secara rasmi. Gabungan BN terdiri daripada Umno, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pada 1 Jun lalu bahawa mereka masih belum menerima permohonan rasmi daripada PBM.