KUALA LUMPUR: Jentera Barisan Nasional (BN) tidak boleh lagi berdiam diri dan perlu segera menyerang tohmahan parti lawan khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN mesti mula untuk lebih banyak menyerang agar tidak dibiarkan terus ‘karam’ diserang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
“Jangan berpeluk tubuh sahaja dan membiarkan BN karam, kita diserang pelbagai sudut oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Pendekatan ‘defensive’ kita selama ini, seolah-olah menggambarkan kita lemah dan salah.
“Jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji lawan kita, dengan radikal dan berkesan. Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan, jadi gunakanlah,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Mohammad menyifatkan perjuangan menentang pihak lawan boleh mengambil contoh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan terbaharu beliau berani berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Tahniah Bossku atas acara debat tempoh hari, tetapi kita tidak boleh biarkan bossku sahaja yang menyerang,” katanya.
Beliau tidak menafikan BN diibaratkan seperti tikus membaiki labu jika tidak membaiki cara menangkis serangan pihak lawan di media sosial dari segi jawapan dan bidasan.
“Yang menjadi masalahnya sekarang adalah, apabila kita membiarkan sahaja, segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang sampai kepada masyarakat,” katanya.
Tegas Mohammad, BN mesti menghentikan segala usaha menyajikan rakyat, dengan perspektif yang hanya berdasarkan persepsi dan akhirnya sendiri menjadi mangsa persepsi sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan.