KANGAR: Pas perlu memilih sama ada bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) atau terus menjalinkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, ketika ini, isyarat dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pas berhubung soal kerjasama dengan UMNO menerusi MN dilihat bercampur baur dan tidak tetap.
Katanya, ada dalam kalangan pemimpin Pas berharap MN diteruskan dan dalam masa sama terdapat juga kenyataan kepemimpinan parti itu yang nampak negatif seolah-olah meletakkan kesalahan terhadap UMNO dalam soal keretakan hubungan gabungan berkenaan.
(Datuk Seri Azlan Man – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis)
Azlan menyuruh rakyat menilai sendiri sikap Pas yang bermuka-muka pada Muafakat Nasional tetapi pada masa yang sama mereka mahu juga bekerjasama dengan Bersatu.
Namun sejak kebelakangan ini, pemimpin Pas dilihat mengeluarkan kenyataan lebih lunak terhadap kerjasama parti itu dengan UMNO menerusi MN di sebalik terus menjalinkan hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh Pas dan UMNO disifatkan sebagai formula terbaik.
Takiyuddin dilaporkan berkata, penyatuan itu bukan terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya boleh disertai mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.
(Datuk Seri Takiyuddin Hassan – Setiausaha Agung Pas)
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin pula memaklumkan, Pas tidak pernah putus dengan UMNO dan sentiasa menghormati perjanjian yang termeterai di dalam piagam MN.
Kata Hashim, Pas tidak bersedia untuk putus dengan UMNO dan berharap sebarang perselisihan dapat diselesaikan.