PUTRAJAYA: Ketika Negeri Sembilan ‘kecoh’ dengan misteri kehilangan 2,000 ekor babi dari 19 ladang haram, statistik rasmi menunjukkan tidak banyak haiwan itu diternak di negeri berkenaan.
Ia didedahkan menerusi laporan Perangkaan Ternakan 2021 diterbitkanJabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang menunjukkan hanya ada 360 ekor babi komersial yang diternak sah.
Data dikeluarkan agensi berkenaan awal tahun ini menunjukkan angka itu menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar babi paling sedikit di Malaysia.
Rekod JPV turut menunjukkan Negeri Sembilan sepanjang 2020 lalu hanya menternak 521 ekor babi yang sah, merosot agak teruk berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 960 ekor babi.
Secara keseluruhan, sejumlah 1,857,839 ekor babi komersial diternak secara sah di seluruh negara pada tahun lepas, jatuh daripada 1,869,772 ekor babi yang direkodkan pada 2020.
Perak terus kekal sebagai pengeluar babi paling besar di Malaysia pada tahun lalu dengan 566,906 ekor, meningkat berbanding hanya 562,288 ekor yang dicatatkan oleh JPV pada 2020.
Dari segi perkapita pula, setiap orang bukan Islam secara purata makan sejumlah 17.3 kilogram daging babi setahun pada 2021 lalu, kurang sedikit berbanding 17.9 kilogram pada 2020. – UTUSAN