LONDON: Juara Formula Satu (F1) dunia tujuh kali, Lewis Hamilton berkata, dapat menjadi sebahagian konsortium yang membeli Chelsea adalah satu ‘impian’ buatnya.
Hamilton menyertai konsortium yang dibentuk Sir Martin Broughton untuk mengambil alih kelab Liga Perdana Inggeris itu selepas ia dijual oleh Roman Abramovich.
( Sir Martin Broughton )
Broughton merupakan seorang ahli perniagaan British yang terkenal, yang pernah menerajui pasukan bolasepak Liverpool sebagai pengerusinya.
Bintang tenis Amerika Syarikat (AS) yang juga pemilik 23 kejuaraan Grand Slam, Serena Williams turut menyertai konsortium tersebut.
Makin ramai selebriti atau individu yang terkenal dan kaya mula membuat pelaburan terhadap kelab bolasepak Inggeris. Selebriti Hollywood ‘A list’ , Ryan Renolds menjadi pemilik pasukan kelab tidak ternama, Wrexham FC.
(Ryan Reynolds)
Hamilton berkata, Chelsea merupakan salah satu kelab terbesar di dunia. Jadi beliau tidak mahu melepaskan peluang tersebut untuk menjadi salah seorang pemilik melalui konsortium itu. Menurut laporan dari Agensi, Martin berjaya meyakinkan Hamilton hanya melalui telefon dengan menerangkan matlamat Chelsea yang akan datang jika mereka memenangi bidaan pemilikan tersebut.
Bilionaire Russia, Roman Abramovich membeli Chelsea pada tahun 2003 dan kini terpaksa menjual kelab London itu selepas asetnya di United Kingdom dibekukan kerana mempunyai hubungan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin. Ini ekoran tercetusnya peperangan Russia – Ukraine.
Chelsea kini beroperasi dengan beberapa sekatan dikenakan dalam urusniaga perniagaan, terutama melibatkan aliran wang. Jadi langkah menjual kelab dilihat cara terakhir untuk membolehkan kelab itu terus bernafas dengan pemilik baru.
Foto – Sky Sports