SELAMA, 22 April — Pelarian Rohingya di negara ini dilayan dengan baik, walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, atas dasar kemanusiaan, Malaysia sudah lama menyediakan keperluan asas kepada pelarian, walaupun negara jiran enggan berbuat demikian dan tiada negara ketiga yang sudi menerimanya.
“Mereka diberi makanan dan tempat tinggal percuma jadi apa lagi yang mereka mahu kami sediakan?
“Setakat ini belum ada negara ketiga yang mahu mengambilnya jadi kita kena tahan dulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Dewan Majlis Daerah Selama di sini hari ini.
Beliau menjawab dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan melayan pelarian dalam tahanan dengan teruk.
Semalam, kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty dilaporkan menyalahkan kerajaan atas kematian tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Sungai Bakap pada 20 April lalu.
Mereka mendakwa bahawa tidak ada sebab untuk menjejalkan mereka di pusat tahanan sementara kerana mereka tidak boleh dihantar pulang kerana prinsip “non-refoulement”.
Hamzah menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana mereka yang melarikan diri bukanlah kumpulan pengganas.
“Tolong jangan lihat Rohingya seolah-olah mereka penjenayah. Mereka adalah pelarian. Jika anda berkesempatan, maklumkan kepada (pihak berkuasa) segera supaya kita boleh tangkap dan hantar semula ke pusat tahanan,” katanya. — Bernama