PETALING JAYA: Open DC menjalinkan kerjasama strategik dengan Northern Gateway Sdn. Bhd. (NGX), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), menerusi perjanjian induk membangunkan sebuah pusat data Tahap 3 di Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan.
Delapan yang dahulunya dikenali sebagai Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana merupakan sebuah taman teknologi maju di Bukit Kayu Hitam, bandar sempadan di antara Thailand dan Malaysia.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Thailand dijangka mencecah RM125 bilion menjelang 2025 dan dianggarkan 45 peratus daripada jumlah itu melalui Bukit Kayu Hitam, justeru pembangunan pusat data Open DC di zon ekonomi tersebut akan meningkatkan lagi jumlah dagangan dengan membangunkan trafik internet merentasi sempadan.
Pengarah Urusan Open DC, Wong Weng Yew berkata, hab teknologi itu akan melengkapkan pembangunan Delapan sebagai hab perniagaan yang rancak di wilayah utara, membolehkan penggiat-penggiat teknologi untuk membangunkan pengehosan perniagaan dengan ketersambungan yang lebih baik melalui pusat data Open DC.
“Kami menyasarkan untuk menambah baik pembangunan Internet di sempadan utara, dengan mencontohi Internet Exchange (IX) sedia ada di negara jiran melalui sempadan Malaysia-Singapura.
“Memandangkan pertukaran jumlah trafik internet yang banyak antara Indo-China melalui lokasi ini, hab itu juga akan dibangunkan sebagai kawasan strategik untuk menjadi hab komersial baharu serta pusat data di wilayah utara,” katanya dalam kenyataan.