7 April Johor Bahru : Gesaan atau ‘bunyi-bunyi’ supaya Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dari memimpin parti itu adalah berniat jahat, pembelot dan khianat kepada parti, menurut Presiden Kelab Veteran Bersatu Dato Jemale Paiman.
“Apa yang sangat diperlukan segera ialah pertukaran jawatankuasa kepimpinan di peringkat pusat, negeri-negeri dan bahagian-bahagian melalui pembentukan jawatankuasa khas pilihanraya dengan adunan secara permuafakatan pemimpin-pemimpin pengasas parti, pemimpin-pemimpin kini, dan pemimpin NGO-NGO yang komited”, ujarnya.
Mereka ini semua harus ditapis dan disaring supaya tidak sombong dan mesra selain mempunyai pengalaman serta pengaruh akar umbi, tambah beliau.
Ditanya adakah pemimpin-pemimpin yang ada sekarang tidak layak, Dato Jemale memberi pandangan bahawa apabila Bersatu mengambil bekas pemimpin-pemimpin UMNO atau PKR di dalam kepimpinan penting parti, ini telah mengakibatkan rasa ketidakadilan kepada akar umbi, tidak disokong oleh majoriti ahli Bersatu serta membawa perpecahan.
“Bersatu ditubuhkan melalui keringat peluh, tohmahan, halangan dan wang saku derma dari rakyat yang tertindas, terpinggir untuk mempunyai kerajaan yang lebih baik, bersih demi masyarakat sejahtera yang baru”, kata beliau lagi.
Beliau menggesa presiden parti membentuk jawatankuasa ini dengan segera sebelum menjelang Pilihanraya Umum ke 15 dan memberi keutamaan dan fokus sepenuhnya.
“(jadi) ..tak usahlah halau Presiden dan pemimpin-pemimpin penaja Bersatu. Sepatutnya mereka mengukuhkan kedudukan Presiden parti”, ujar beliau apabila ditemui oleh Berita Tular.
Foto : Utusan Malaysia