Untung bersih KPJ Healthcare Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 (TK2021) turun kepada RM51.03 juta daripada RM110.44 juta yang dicatatkan untuk TK2020.
Bagaimanapun, hasilnya meningkat 10 peratus kepada RM2.63 bilion daripada RM2.40 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan peningkatan aktiviti sepanjang tahun, termasuk kerjasama yang lebih baik dengan sektor penjagaan kesihatan awam untuk merawat pesakit Covid-19, saringan Covid-19 yang lebih tinggi, makmal perkhidmatan ujian dan vaksinasi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata keuntungan sebelum cukai kumpulan turun 23 peratus daripada RM115.6 juta pada TK2020, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam kos bahan hasil daripada mematuhi keperluan prosedur operasi standard Covid-19.
Menurut KPJ, penggunaan peralatan pelindung diri oleh pekerja dan keperluan wajib untuk ujian RT-PCR bagi semua pesakit telah menyebabkan kos operasi yang lebih tinggi semasa pandemik Covid-19.
Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2021 (S4 TK2021), syarikat itu menyaksikan keuntungan bersihnya menyusut kepada RM18.46 juta berbanding RM25.29 juta sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM689.12 juta daripada RM622.34 juta sebelumnya.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkata ia telah mengenal pasti bidang tumpuan strategik utama untuk 2022 yang akan membentuk keupayaannya untuk beralih daripada usaha pemulihan kepada perkembangan kemajuan dalam fasa pasca pandemik dan akan terus memberi tumpuan kesihatan maya dan inovasi digital lain.