Pontian 18 Februari : Pihak pembangkang kerajaan di negeri Johor yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah) disifatkan aneh oleh Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional.
“Saya hairan dalam dunia ini, pembangkang selalunya akan merodak (melanggar) kita supaya dewan dibubarkan, supaya parlimen dibubarkan, tetapi di Malaysia khususnya di Johor, pembangkang ‘menangis-nangis’ tak nak buat… saya tak tahu, pembangkang apa ni ?”, kata beliau di petik dari video Umno Online.
Pilihanraya negeri Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac ini adalah akibat pembubaran dewan negeri oleh Menteri Besar Johor Dato’ Haji Hasni bin Mohammad yang mahukan kerajaan yang lebih majoriti dan stabil.
Setelah kematian wakil rakyat Kempas, Dato’ Haji Osman bin Sapian kerajaan Johor yang diketuai oleh UMNO bersama sokongan Bersatu hanya memiliki 1 majoriti sahaja dalam sidang dewan undangan negeri.
Mohamad Hasan yang mesra dengan panggilan Tok Mat berkata, pembangkang kebiasaannya “garang-garang” dan akan merebut untuk mendapat mandat baharu, tetapi ia tidak terjadi kepada sikap pembangkang negeri ini.
Jadi UMNO mengambil langkah untuk memberikan peluang kepada rakyat Johor di dalam memilih kerajaan dan memberi mandat baru kepada kerajaan pilihan mereka, menurut beliau lagi.