KUALA LUMPUR, 7 Feb — Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menekankan bahawa Bersatu tidak akan meninggalkan kerajaan untuk memberli laluan kepada pilihan raya umum. Presiden Bersatu itu berpendapat bahawa tindakan tersebut hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat.
Muhyiddin berkata Bersatutetap mengambil kira kepentingan awam dan negara bagi mengelak sebarang kehilangan nyawa di tengah-tengah gelombang Omicron, walaupun hubungan parti itu dengan Umno tegang.
Beliau juga menambah bahawa menarik sokongan ketika ini adalah tindakan yang bodoh dan Bersatu tidak mahu dilihat sedemikian rupa.
Beliau mengakui adalah tidak wajar untuk dirinya bagi “menekan butang” dalam keadaan semasa, walaupun membelakangi kepentingan Bersatu itu sendiri.
“Jika anda mempunyai kuasa dan anda menyalahgunakan kuasa anda hanya kerana kepentingan diri anda sendiri dengan mengorbankan kehidupan rakyat anda, saya fikir itu adalah paling tidak bertanggungjawab,” tegas Ahli Parlimen Pagoh itu.
Tahun lepas, Muhyiddin berkata bahawa beliau tidak takut untuk “menekan butang” untuk mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri Johor.
Mengenai kerusi pilihan raya dalam pilihan raya negeri Johor akan datang, Muhyiddin berkata bahawa rundingan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) — Bersatu, PAS dan Gerakan — akan dimuktamadkan esok.
“Ada dua atau tiga kerusi bertindih dengan Gerakan yang perlu diselesaikan,” kata pengerusi PN itu, sambil menambah bahawa pilihan raya Johor akan menjadi peluang untuk pengundi memilih untuk tidak mengundi pemimpin korup dalam Barisan Nasional (BN), termasuk mereka daripada kluster mahkamah.
Suruhanjaya Pilihan Raya dijadualkan bermesyuarat pada hari Rabu ini untuk memutuskan tarikh penamaan dan pengundian bagi pilihan raya Johor berikutan pembubaran DUN negeri itu.