OTTAWA: Ribuan penduduk menyertai protes aman di ibu negara Ottawa bagi menentang kewajipan vaksin Covid-19 oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Lapor Reuters, peserta protes berhimpun dan bersorak di kawasan jalan yang dilitupi salji di hadapan bangunan Parlimen.
Protes asalnya bermula dengan ‘Konvoi Kebebasan’ melibatkan himpunan pemandu lori menentang keperluan vaksin bagi pemandu rentas sempadan, namun, akhirnya bertukar menjadi demonstrasi menentang tindakan keterlaluan pihak kerajaan oleh kumpulan anti-vaksin.
Seorang pemandu trak dari Windsor, Csava Vizi berkata, dia tidak dapat bekerja disebabkan tidak dapat merentas sempadan akibat enggan menerima suntikan vaksin.
Bagi pemilik Valley Flatbed & Transportation di Nova Scotia di perairan Atlantik, Daniel Bazinet, protes itu bukan disebabkan vaksin semata-mata, tetapi kerana menghentikan mandat kesihatan awam serentak.
Brendon dari Ottawa pula membawa sepanduk tertera perkataan malu menjadi sebahagian dari penduduk Kanada.
“Saya serta penduduk lain berada di sini kerana kami penat dengan peraturan kewajipan vaksin dan perintah berkurung,” katanya.
Protes bermula sejak pagi hingga tengah hari dengan suhu sejuk mencecah -21 darjah Celcius di kawasan itu.
Segelintir peserta kelihatan memakai pelitup muka ketika menyertai protes.
Trudeau dan ahli keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman di Ottawa atas alasan keselamatan.