Johor Bahru, 16 Jan — Spekulasi bertiup kencang mengenai PRN Johor, di mana pemimpin Umno dilaporkan telah memberikan pelbagai maklum balas, termasuk bersedia sekiranya pilihan raya mengejut diadakan.
Akhbar tempatan The Star berkata Mentri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad — dari Umno — telah bersama pemimpin Umno lain dari Johor, menghadiri mesyuarat tertutup dengan jentera Barisan Nasional (BN) Kulai.
Setiausaha Umno Johor Datuk Samsolbari Jamali bagaimanapun dipetik sebagai berkata pertemuan tersebut tiada kaitan dengan pilihan raya negeri Johor. Menurut beliau ia hanyalah jemputan oleh UMNO Kulai bagi menghadiri seminar sebagai sebahagian daripada persiapan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-15.
Beliau dilaporkan berkata Umno dan BN Johor masih menumpukan perkhidmatan kepada orang ramai dan keutamaan utama mereka adalah untuk mengatasi Covid-19 dan banjir di Johor.
Naib presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga bekas menteri besar Johor, melalui catatan Facebook pada 14 Januari lalu menulis mengenai lawatannya ke kerusi DUN Johor Jaya — yang ingin dimenangi semula oleh BN — untuk melihat persiapan jentera pilihan raya di sana.
Khaled juga bertegas bahawa pendirian UMNO Johor teguh dan tidak berubah di mana Umno melalui BN akan bertanding secara solo dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersama BN. Beliau mahu BN yang dominan dan kembali mentadbir untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat.
Sebelum itu pada 13 Januari, Khaled telah melawat jentera pilihan raya Umno Pasir Gudang dan berkata BN akan bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang walaupun terdapat usaha “beberapa parti serpihan yang cuba meraih kekuatan Umno”. Manakala ada sumber dalaman UMNO memaklumkan pada 14 Januari Khaled telah menghadap Sultan Johor. Namun beliau memberitahu bahawa ia adalah pertemuan biasa dan Tuanku Sultan sudah lama tidak bertemu dengannya.
Dalam laporan yang berkaitan, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid, beliau berkata sama ada Umno dan BN akan bertanding secara solo, mereka adalah parti yang sentiasa bersedia. “Jika itu keputusan Johor (Umno) (pilihan raya negeri diadakan), saya rasa Umno dan BN secara keseluruhannya sudah bersedia untuk menghadapinya”.
“Sama ada kita bertanding secara solo atau dengan sekutu lain, itu akan diputuskan sebagai kata sepakat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti. Sebagai naib presiden, saya tiada hak untuk bercakap bagi pihak parti dan semuanya bergantung kepada kepimpinan pusat,” katanya dipetik semalam.
Pada 14 Januari, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan oleh akhbar tempatan Berita Harian sebagai berkata Umno bersedia menghadapi pilihan raya negeri di Johor jika ia diadakan.
Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. Dato’ Haji Hasni bin Mohammad mengetuai kerajaan Johor dengan majoriti 28 kerusi (BN 16 kerusi, Bersatu 11 kerusi, PAS 1 kerusi) manakala pembangkang (PH) mempunyai 27 kerusi.
Kini satu kerusi kekosongan, berikutan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian dari parti Bersatu pada 21 Disember 2021.