RAMAI yang salah faham apabila seseorang itu dipanggil membela diri atas sesuatu tuduhan di mahkamah, maka dia sudah didapati bersalah. Dalam undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah.
Sikap masyarakat yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap seseorang yang didakwa di mahkamah adalah tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi selepas dia dipanggil membela diri. Masalah masyarakat kita sekarang gemar tularkan sesuatu dan daripada kes mahkamah yang ditular hanya sebelah pihak saja.
Sepatutnya, mereka perlu tahu yang proses mahkamah memberi keadilan kepada pihak tertuduh. Perbicaraan di mahkamah ada dua peringkat, iaitu pertama peringkat prima facie. Pendakwaan perlu membuktikan kes terhadap tertuduh dan mereka akan memanggil saksi pendakwaan yang material.
Pada peringkat ini, orang kena tuduh (OKT) tidak akan memberi sebarang kenyataan. OKT cuma duduk diam-diam dalam kandang tertuduh. Ketika ini, yang memberi keterangan adalah saksi pendakwa dan sudah tentu semua kenyataan itu akan menunjukkan kesalahan terletak pada tertuduh.
Di sini selalu netizen membentuk persepsi. Pada peringkat ini, semua yang dinyatakan adalah daripada sebelah pihak sahaja. Tugas peguam pada peringkat ini adalah untuk menunjukkan bahawa tidak ada bukti yang boleh mengaitkan OKT dengan jenayah yang dituduh; sama ada dengan ketiadaan bukti dan kenyataan saksi yang tak kuat.
Tugas peguam pula ketika ini adalah menyebut apa-apa kejadian atau bukti dari sudut OKT. Sama ada fakta kejadian menurut OKT, alibi, kewujudan saksi bebas, atau wujud pembelaan kepada kejadian.
Di hujung kes prima facie, mahkamah akan membuat penilaian sama ada pendakwaan berjaya membuktikan satu kes. Sekiranya pendakwaan berjaya membuktikan kes, boleh dikatakan 50 peratus kes sudah dimenangi mereka kerana mahkamah sudah membuat keputusan untuk menerima fakta pertuduhan.
Ketika ini tertuduh akan dipanggil membela diri dan ini peringkat kedua. Mahkamah perlu mendengar kenyataan daripada tertuduh dan saksi pembelaan. Pada peringkat pembelaan, tertuduh diberi tiga pilihan.
Pertama, berdiam diri dan jika ini berlaku mahkamah akan terus mengenakan hukuman kerana kes sudah terbukti dan tidak dijawab. Kedua, memberi keterangan di kandang tertuduh. Bagaimanapun, keterangan ini tidak cukup kuat kerana kenyataan ini tidak boleh dicabar oleh pendakwaan.
Kebiasaannya, mereka yang memberi kenyataan sebegini akan didapati bersalah. Sebenarnya kalau mereka di pihak yang benar, mengapa takut untuk disoal balas.
Ketiga, kenyataan dari kandang saksi dalam keadaan bersumpah.
Kenyataan begini ada asas, tetapi tertuduh perlu bersedia untuk diasak oleh pendakwa. Tertuduh boleh memanggil saksi untuk yang menyokong keterangannya. Apabila selesai di peringkat ini, mahkamah akan menilai semula kes secara keseluruhan.
Mahkamah akan menilai keterangan saksi pembelaan dan jika kenyataan itu menyokong dan membuktikan kenyataan tertuduh, mahkamah perlu membebaskan OKT. Jika keterangan tertuduh dan saksi tidak meyakinkan, maka kes prima facie pendakwaan akan kekal.
Dengan itu, tertuduh akan disabitkan atas kesalahan itu dan mahkamah akan mengenakan hukuman. Untuk masyarakat, faham proses mahkamah, jangan jadi ‘hakim’ di luar sana dan terus menjatuhkan hukuman sendiri.
Anwar Hussin – Berita Harian