KUALA LUMPUR, 29 Dis — Sekolah vernakular Malaysia (jenis kebangsaan) dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak saman menuntut kerajaan memansuhkan pendidikan menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil.
Ketika membacakan penghakiman ringkasnya pagi ini, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata Perlembagaan Persekutuan, sebenarnya, secara jelas melindungi pengajaran dalam bahasa ibunda selain Bahasa Malaysia.
Beliau seterusnya berkata plaintif gagal menunjukkan bagaimana pendidikan vernakular telah melanggar kebebasan peribadi mereka di bawah perlembagaan.
“Memandangkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular sebagai bahasa pengantar adalah mengikut perlembagaan kerana ia dilindungi di bawah pengecualian dalam Perkara 152 (1)(a) dan (b) Perlembagaan, tidak ada asas untuk menyatakan bahawa penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular adalah tidak selaras atau melanggar Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam apa jua keadaan, ia tidak ditunjukkan dengan cara bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular telah melanggar kebebasan asasi mana-mana orang yang dijamin dalam Perkara tersebut.
“Pendaftaran ke sekolah vernakular adalah pilihan. Sukar untuk melihat bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil akan melanggar kebebasan asas atau hak mana-mana orang di bawah perlembagaan,” katanya.
Nazlan juga menegaskan bahawa sekolah vernakular adalah institusi pendidikan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan bukan pihak berkuasa awam atau berkanun.
Oleh itu, beliau berkata adalah tidak dianggap satu kesalahan jika bahasa lain selain bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar, sambil menambah ia dilindungi di bawah Perkara 152 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) memulakan saman untuk mendesak kerajaan melarang sekolah vernakular.
Mereka mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa sekolah sebegitu tidak berperlembagaan, malah mendakwa kewujudannya melanggar Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Kumpulan itu juga mendakwa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1966, yang membenarkan sekolah Mandarin dan Tamil menjalankan pelajaran dalam bahasa-bahasa ini, juga tidak mengikut perlembagaan.
Selain itu, mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan sekolah vernakular melanggar Perkara 5 (hak untuk hidup bermaruah), 8 (persamaan), 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan), 11 (kebebasan dalam beragama), dan 12 (hak berkenaan dengan pendidikan) Perlembagaan.
Terdapat 13 defendan dalam saman itu, termasuk parti politik MCA, MIC, Gerakan, Kementerian Pendidikan dan menteri pendidikan.