Langkawi, 16 Dis — Dalam langkah berjaga-jaga menghadapi ancaman varian Omicron Covid-19 supaya tidak lebih menular, sambutan Tahun Baru dan Krismas berskala besar tidak dibenarkan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
Bagaimanapun, parti persendirian yang lebih kecil dibenarkan, dengan syarat semua peserta melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum menghadirinya.
“Kami tidak membenarkan sambutan Tahun Baru secara besar-besaran. Acara persendirian bersama rakan dan keluarga dibenarkan buat masa ini, tetapi (para hadirin) perlu melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum menghadiri acara sebegini,’’ katanya.
Dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap varian Omicron, Khairy turut mengumumkan langkah tambahan semasa sidang media hari ini untuk menangani wabak Covid-19 yang sedang berlaku.
Ini termasuk menjadikan dos penggalak menjelang Februari sebagai keperluan untuk mengekalkan status vaksinasi penuh bagi mereka yang menerima vaksin Sinovac serta penerima vaksin lain yang berumur 60 tahun dan ke atas.
Pengumuman itu didahului hari ini dengan pengesahan Kementerian Kesihatan mengenai kes kedua varian Omicron di negara itu, melibatkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang melancong bersama keluarganya dari Lagos, Nigeria