spot_img
spot_img

Apa pengundi mahu ?

spot_img

Semasa Darurat di isytiharkan pada 11 Januari 2021 yang lalu, YAB Perdana memberi aku janji bahawa Pilihan raya Umum Ke15 (PRU15) akan dilaksanakan sebaik sahaja ancaman pandemik COVID-19 dapat diatasi oleh Kerajaan Malaysia. Mengikut sistem perundangan negara, jangka hayat Parlimen sekarang hanya akan tamat pada Jun 2023 dan PRU15 perlu diadakan selewat-lewat Ogos 2023. Namun dengan pelan vaksinisasi COVID-19 yang akan bermula di seluruh negara pada Mac  2021, masyarakat yakin pandemik COVID-19 akan dapat dibendung dan kehidupan akan dapat berjalan dengan lebih sempurna mengikut norma baharu.  Ditambah dengan keadaan politik semasa yang sentiasa bergolak, ramai yakin bahawa PRU15  perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan kerajaan mendapat mandat yang lebih kukuh daripada pengundi.

Secara asasnya, pilihan raya adalah suatu proses di mana pengundi yang berdaftar diberi peluang untuk melaksanakan tugas sebagai rakyat untuk memilih wakil bagi membawa suara dan inspirasi mereka ke dalam proses pembikinan undang-undang samada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Parti-parti politik atau orang perseorangan akan meletakkan calon-calon untuk dipilih oleh rakyat, dengan pelbagai janji untuk menarik sokongan daripada pengundi.  Bagi memilih calon yang sesuai, pengundi perlu faham apakah bidang tugas seseorang wakil rakyat yang dipilih. Pengundi harus bertindak sebagai majikan dalam memilih wakil yang akan bertugas untuk mereka.

Apakah skop kerja seorang wakil rakyat? Pertama, menggubal undang-undang baru atau meminda undang-undang sedia ada. Parlimen di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri ialah badan ulung bagi pembikinan undang-undang yang bertujuan untuk menjaga kepentingan rakyat. Ahli-ahli Parlimen dan ADUN dari kedua-dua belah pihak akan akan menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa khas, bagi memperhalusi rang undang-undang sebelum dibentangkan bagi kelululusan ahli Dewan. Ahli-ahli yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dengan isu-isu berkaitan rang undang-undang berpeluang memberi sumbangan mengenai rang undang-undang tersebut. Proses ini secara teori, bertujuan untuk membolehkan pandangan rakyat diambil kira dalam penggubalan undang-undang yang akhirnya memberi impak kepada rakyat.

- Advertisement -

Tugas kedua wakil rakyat adalah memastikan isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh penduduk samada di kawasan yang diwakili mereka atau di lain-lain tempat dapat diatasi dengan mengetengahkan isu-isu yang berbangkit dan menggubal undang-undang atau memastikan pihak Eksekutif atau pentadbiran negara mewujudkan polisi bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat. Malah ahli parlimen boleh mengusulkan rang undang-undang persendirian bagi mewujudkan undang-undang sekiranya kerajaan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.  Namun perkara ini belum pernah berlaku di Malaysia.

Ketiga, rakyat wakil juga bertanggungan untuk bertindak sebagai pasukan pemantau keatas segala urusan badan pentadbiran (Eksekutif) bagi memastikan polisi dan peraturan yang dijalankan oleh kerajaan memberi manafaat dan bukan  membebankan rakyat. Ikrar yang dilafazkan oleh wakil rakyat semasa mengangkat sumpah di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, adalah jelas bahawa kesemua wakil rakyat berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri. Undang-undang asas tersebut, memberi hak asasi kepada rakyat dan oleh yang demikian wakil rakyat adalah bertanggungjawab untuk mempertahankan hak rakyat tersebut sebagaimana yang telah mereka ikrarkan.

Berdasarkan kepada tugas-tugas yang dinyatakan adalah jelas bahawa, calon-calon yang ingin menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat harus mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengan isu-isu dasar ataupun struktur yang akan memberi kesan secara terus kepada rakyat. Calon yang terpilih perlu memastikan isu-isu tersebut tidak akan memberi kesan negatif kepada masyarakat. Calon-calon juga harus faham tatacara perlaksanaan sesuatu polisi oleh jabatan dan agensi kerajaan agar perlaksanaan polisi tidak akan menimbulkan kesan negatif terhadap rakyat.

- Advertisement -

Kepetahan berpidato semasa berkempen sering menarik perhatian pengundi terhadap seseorang calon. Namun, harus diingatkan bahawa, pengundi juga ingin melihat wakil mereka berdebat dengan penuh hemah di dalam Parlimen atau Dewan Undang Negeri. Semenjak kebelakangan ini, tingkah laku ahli-ahli Parlimen semasa bersidang sering menimbulkan soalan samada mereka layak berada di dalam Dewan Rakyat yang dianggap mulia itu. Kata-kata kesat, gelagat yang bertentangan dengan peradaban timur, kenyataan-kenyataan bersifat seksisme dan perkauman sering diungkapkan oleh ahli-ahli yang berhormat tanpa rasa hormat kepada dewan yang dianggap mulia oleh masyarakat. Ciri-ciri ini harus diberi perhatian yang serius oleh pengundi dalam proses pemilihan calon.

Sebagai wakil rakyat, ahli dewan haruslah mampu menonjolkan sifat-sifat peribadi yang berintegriti tinggi. Wakil rakyat bukanlah ketua masyarakat, namun di negara ini, wakil rakyat sering menganggap diri mereka adalah ketua. Sebagai ketua, mereka harus bersih dan suci dari segala perkara-perkara yang boleh memberi tanggapan negatif terhadap mereka. Tuduhan jenayah, tindakan undang-undang di mahkamah dan lain-lain perkara yang menggugat tahap integriti boleh dijadikan alasan bagi seseorang wakil rakyat meletak jawatan. Amat malang di negara kita, hukuman yang dibuat oleh mahkamah tidak memberi kesan kepada ahli politik. Malah publisiti yang ditimbul dari kes-kes mahkamah menjadikan ahli-ahli politik lebih popular. Pengundi bagi pilihan raya akan datang harus memberi perhatian yang serius terhadap aspek integriti ni.

Masyarakat, terutama di kawasan luar bandar sering bergantung kepada wakil rakyat bagi menyelesaikan masalah dan isu-isu berkaitan dengan kebajikan. Jalan raya, pembinaan sekolah, jambatan, parit dan longkang, bantuan pakaian dan bag sekolah adalah antara perkara-perkara fizikal yang sentiasa menjadi tuntutan masyarakat. Walaupun perkara-perkara ini bukanlah di bawah bidang kuasa wakil rakyat sepenuhnya, tetapi telah menjadi lumrah bagi wakil rakyat untuk jadi jagoh dengan menyediakan perkara tersebut kepada rakyat. Menyempurnakan tuntutan rakyat ini akan menambah populariti wakil rakyat untuk menjamin pemilihan semula di kawasan tersebut. Soalan yang timbul ialah, adakah perlu bagi wakil rakyat menjadi ‘pegawai kebajikan’ atau ‘kontraktor bangunan atau jalan’? Kerana tugas hakiki wakil rakyat adalah menyediakan undang-undang dan polisi untuk bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Sebagaimana yang ditekankan di dalam Laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (ERC), Pendidikan Demokrasi dan Pilihan raya adalah salah satu aspect dalam “Electoral Reform” yang wajar diperluaskan supaya rakyat, pengundi serta ahli-ahli politik memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing agar kesejahteraan semua pihak dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Penulis adalah Mantan CEO Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihanraya, Jabatan Perdana Menteri.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img