Utusan Online
Prosedur operasi standard (SOP) untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa perayaan Tahun Baharu Cina diselar sebagai cela, bodoh dan seumpamanya. Ini kerana jamuan himpunan ahli keluarga besar hanya boleh diadakan untuk isi keluarga sendiri, biarpun ahli lain tinggal berhampiran. Selanjutnya, SOP ini ikut dibidas sebagai larangan, tidak peka kepada sensitiviti etnik Cina selain disoal tentang penguatkuasaannya.
Kesemua kecaman itu datang daripada kepimpinan politik, baik kerajaan mahupun pembangkang yang mendendangkan irama sama, iaitu tidak adil dan membandingkannya dengan kebenaran membuka beberapa sektor perniagaan termasuklah pasar malam, operasi kilang dan pengangkutan awam. Sehubungan itu, pemimpin terbabit gagal melihat rasionalnya dalam konteks penularan pandemik Covid-19 yang dahsyat untuk mengimbangi persoalan dan nafkah hidup.
Larangan untuk berkumpul dengan ahli keluarga yang tidak serumah semasa majlis makan pada ambang Tahun Baharu Cina kali ini adalah soal hidup. Ia perlu untuk membendung jangkitan virus yang berleluasa dalam komuniti. Kebenaran kegiatan ekonomi tertentu pula adalah soal nafkah hidup agar tidak ada yang menganggur. Dalam hal ini, kawalan SOP boleh lebih dipastikan pematuhannya di pasar malam daripada di rumah.
PEKA
Oleh itu, perhimpunan dilarang dalam ranah domestik di rumah yang tertutup sifatnya. Sebaliknya ia boleh dikawal dalam ranah awam di pasar malam walaupun membabitkan khalayak yang ramai.
Sebenarnya, penjarakan fizikal adalah SOP terpenting yang boleh mengawal atau menyebabkan jangkitan virus Covid-19. Oleh itu, ia wajib dipastikan dipatuhi sepenuhnya dalam usaha kita memerangi pandemik berbahaya ini. Justeru, pengumuman SOP begini semasa makan malam itu yang melarang perhimpunan dari isi rumah berlainan.
Dalam mengkritik SOP Tahun Baharu Cina, perbandingan ikut dibuat antara SOP hari raya tahun lalu yang dikatakan tidak begitu ketat larangannya. Ini harus difahami, pada masa itu jangkitannya tidaklah berada pada tahap begitu tinggi seperti kini. Pemimpin politik sepatutnya peka kepada keadaan dahulu dan sekarang untuk tidak melabelkan SOP untuk Tahun Baharu Cina sebagai dwistandard, iaitu peraturan berbeza untuk dua kelompok berlainan.
Walaupun majlis makan besar itu merupakan tradisi penting, ia tidak pun ditulis dalam bentuk kitab sehingga tidak boleh langsung diubah. Demi keselamatan etnik Cina sendiri, mereka hendaklah dengan rela hati meredakan ketiadaan kemeriahan berkumpul beramai-ramai pada kali ini. Untuk tahun ini, ia berupa makan malam ahli keluarga sendiri sahaja. Dalam pada itu, Tahun Baharu Cina sebagai perayaan ceria akan muncul lagi untuk diraya sakan mengikut normanya.
Ini berlainan sekali dengan upacara kematian sewaktu PKP yang juga perlu mematuhi SOP ketat. Sehubungan itu, ia yang hanya sekali itu sahaja untuk menghormati si mati, yakni tiada lagi kesempatan lain untuk diziarahi, antaranya anak kandung sendiri yang terlarang oleh penutupan sempadan, boleh pula diterima tanpa bantahan walaupun ia peristiwa hiba yang tiada lagi ulangannya. Sebaliknya, Tahun Baharu Cina satu perisitiwa riang yang pasti etnik Cina boleh lebih bersedia bertolak ansur dalam semangat berkorban untuk membantu keadaan supaya tidak menjadi lebih teruk. Untuk itu, tunjukkanlah sisi hati budi etnik Cina yang luhur!
Sebetulnya, pengorbanan keramaian makan malam yang berupa adat budaya adalah tidak serumit pengubahsuaiannya berbanding kompromi untuk ritual agama, lebih-lebih lagi yang fardu sifatnya. Oleh itu, etnik Cina diminta bertimbang rasa seperti diperlihatkan etnik lain yang kurang sekali kerenah dan songehnya. Lebih penting, pemimpin politik Cina digesa tidak sengaja memberi rentak negatif kepada SOP asal itu.
Sebenarnya etnik Cina rata-ratanya dikenali sebagai kelompok pragmatik, iaitu waras menimbang keadaan khususnya untuk kebaikan mereka sendiri.
BEBAL
Namun dalam kes ini, mereka kehilangan arah untuk menjadi siuman bagi melindungi diri sendiri dan keluarga mereka. Sebaliknya mereka menjadi bebal sehingga gagal melihat antara logik mengunjungi pasar malam dan mengadakan makan malam. Ini kerana tindakan pemimpin mereka berpolitik bengap yang cepat pula diterima mereka tanpa menaakul sejenak jua tentang perbandingan bangang itu.
Perbezaan ruang pasar malam yang luas dan makan malam yang sempit sepatutnya bukan sahaja pantas difahami, tetapi disokong kuat pemimpin Cina pihak kerajaan. Malangnya ia ikut jahil dicerca seperti yang dijangka daripada pihak pembangkang. Sebagai kerajaan, SOP Tahun Baharu Cini ini wajib diterima seluruh kepimpinannya. Apabila dipertikai menterinya sendiri, ia bukan sahaja mengelirukan rakyat, ia kelihatan tidak baik pada kerajaan semasa.
Sebenarnya SOP asal itu adalah peraturan adil selain tepat apabila mengambil kira keadaan jangkitan pandemik Covid-19 pada masa ini. Oleh itu, ia tidak patut dibantah langsung kerana dilakukan semata-mata atas pertimbangan sosiokesihatan untuk mencegah dahulu lebih baik daripada merawat kemudian. Sudah tentu ia sempurna setelah memperoleh maklumat daripada puluhan entiti Cina, malah bijaksana dalam konteks normal baharu dengan langkah yang mengambil kira kesihatan awam dan keselamatan negara dalam krisis yang sudah pun diisytiharkan darurat.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.