KUALA LUMPUR: CNAsia Corporation Berhad (CNAsia) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Intcys Sdn. Bhd. (Intcys) semalam.
MoU tersebut adalah untuk penubuhan sebuah bank digital wanita yang mungkin pertama seumpamanya di dunia.
Bank tersebut akan dioperasikan di bawah jenama Women Empowering Women (MyWEW), sebuah perusahaan sosial hasil inisiatif Intcys untuk pemerkasaan wanita terutamanya dalam sektor ekonomi.
Penasihat MyWEW, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bank tersebut akan dioperasikan oleh wanita untuk wanita.
“Saya harap Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempertimbangkan permohonan penubuhan bank dan sebagai penasihat, saya berpandangan barisan pengarah dan kakitangan bank ini sepatutnya daripada golongan wanita.
“Wanita secara asasnya pembayar pinjaman yang baik dan peratusan wanita yang jatuh bankrap lebih sedikit berbanding lelaki, jadi saya percaya penubuhan bank ini adalah satu perniagaan yang baik.
“Saya berharap bank ini dapat menyediakan pembiayaan mikro untuk memperkasakan ramai usahawan wanita kecil dan golongan B40 yang kurang mendapat akses pembiayaan, misalnya makcik berniaga ikan bilis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangai MoU yang disempurnakan Pengarah Eksekutif CNAsia, Chang Chee Ching dan Pengarah Intcys, Wan Nurliyana Abdul Rahman di sini, semalam.
Hasrat penubuhan Bank Digital MyWEW adalah untuk menyediakan kemudahan perbankan digital memfokuskan kepada golongan wanita dengan penyediaan pelbagai kemudahan perbankan termasuk deposit, pemindahan dan pembiayaan.
Wan Nurliyana berkata, bank yang khusus untuk golongan wanita boleh ditemui di beberapa buah negara seperti Sweden, India dan Bangladesh namun untuk bank digital, beliau percaya ini yang pertama.
“Kami masih belum menghantar sebarang permohonan kepada BNM. Ia sepatutnya dibuat sebelum tarikh tutup permohonan pada penghujung Jun.
“Kedua-dua belah pihak masih dalam peringkat perbincangan dan saya berharap ia dapat dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan ini,” katanya. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN