KUALA LUMPUR: Malaysia akan menumpukan lima bidang utama bagi hala tuju dasar untuk pembangunan dan pertumbuhan industri sawit di negara ini dalam 10 tahun akan datang.
Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Ravi Muthayah, berkata lima bidang utama itu ialah produktiviti, kelestarian, pewujudan nilai, keterangkuman dan pembangunan pasaran.
Beliau berkata, peningkatan produktiviti dalam industri sawit negara penting dan ia boleh dipercepatkan menerusi penyelidikan dan pembangunan serta komersial, inovasi dan aplikasi teknologi.
“Dengan mengehadkan kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar, Malaysia mesti melihat kepada meningkatkan produktiviti industri sawit dan menggalakkan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) terutama dalam mengatasi kekurangan tenaga buruh.
“Tumpuan selanjutnya adalah dalam kelestarian, yang mana ia bukan saja membabitkan industri sawit tetapi juga komoditi agro lain. Ia perlu dilihat di keseluruhan rantaian bekalan sama ada di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangannya bertajuk ‘Malaysian Palm Oil Industry – Vision for the Future’ pada Seminar & Pameran Perdagangan Minyak Sawit (POTS 2021) anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), hari ini.
Dalam pada itu, Ravi berkata, Malaysia juga perlu meningkatkan pewujudan nilai menerusi pelaburan dalam sektor hiliran industri sawit dengan mengeluarkan produk berkaitan sawit yang mempunyai nilai tinggi.
Beliau berkata, di samping mengeluarkan minyak sawit yang lestari, Malaysia juga boleh mengeluarkan produk sawit bernilai tinggi seperti bahan api bio, farmaseutikal dan kosmetik.
Katanya, tumpuan selanjutnya adalah pembangunan pasaran dengan Malaysia perlu mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran sedia ada dan pada masa sama meninjau pasaran eksport baharu.
“Pasaran Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah Timur adalah pasaran bukan tradisi yang masih belum diterokai sepenuhnya. Justeru, adalah penting bagi peserta industri menembusi rantaian bekalan global yang akan membantu Malaysia memasarkan produk dan pengeluaran secara berkesan,” katanya.
Ravi berkata, kerajaan juga akan meneruskan usaha meningkatkan sosio ekonomi dalam industri sawit negara dengan memastikan kualiti hidup, kesihatan dan pendapatan mapan membabitkan pekebun kecil.