IPOH: Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) menyambut baik pengumuman UMNO melaksanakan gencatan politik dan menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional.
Malah, kata Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, langkah itu patut dicontohi semua parti politik ketika kerajaan sedang berusaha untuk memutuskan penularan pandemik COVID-19.
Beliau yakin, rakyat juga mahukan ahli politik, baik kerajaan mahupun pembangkang, bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan ekonomi, seterusnya membantu rakyat yang terkesan.
“Ini fokus yang saya kira semua pemimpin patut sambut baik dan saya harap tak ada lagi pemimpin-pemimpin yang mendakwa itu ini dan mengambil masa DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap (untuk tujuan) nak tubuh kerajaan dan sebagainya.
“Semua orang bagi sokongan kepada kerajaan sedia ada demi kebaikan rakyat dan apabila tiba masanya, saya percaya Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kalau dibubarkan Parlimen dan sebagainya, berpolitiklah balik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak ditemui selepas majlis penyampaian insentif kemenangan sukan hoki dan kriket di sini, hari ini.
Semalam (Rabu, 21 Oktober) Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.
Menurutnya, parti itu juga dalam masa sama mengambil pendirian untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara mendepani COVID-19 serta kegawatan ekonomi.
Menurut Ahmad Faizal, sejak dari dahulu lagi, beliau berpendirian bahawa semua pemimpin politik perlu fokus kepada bekerja dan berkhidmat untuk rakyat sebaik sahaja selesai pilihan raya.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pemimpin UMNO dan Pas di negeri Perak.
Oleh itu, beliau enggan memberi sebarang ulasan berhubung kenyataan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mendakwa Menteri Besar tidak menghargai semangat muafakat dan kerjasama yang dipersetujui ketika membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
Menurutnya, jika beliau memberi ulasan, dibimbangi ia akan disalah tafsirkan oleh pihak lain.
“Cuma yang nak saya sampaikan, semalam kami telah mengadakan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak dan fokus kerajaan hari ni adalah untuk meneruskan kerja, memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Banyak seperti yang saya umumkan baru-baru ini diskaun-diskaun tunggakan tanah semua ni dilanjutkan dan inilah perkara-perkara yang rakyat nak nantikan,” ujarnya.
Pada Isnin, Saarani melahirkan rasa kecewa kerana mendakwa persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan kerajaan negeri Perikatan Nasional sudah tidak dihormati.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, Perak akan membantu kerajaan negeri Sabah yang sangat terkesan dengan penularan COVID-19 sehingga diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Pejabat Kewangan Negeri, untuk menyampaikan sedikit bantuan kepada kerajaan negeri Sabah.
Sumber-AWANI
What’s your Reaction?
+1
+1
+1
+1
+1
+1
+1