KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi pendirian bahawa beliau masih Perdana Menteri yang sah.Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, bagaimanapun beliau menghormati kenyataan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang, dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.Sebagai sebuah negara yang menegakkan sistem berperlembagaan, Muhyiddin berkata sebarang tindakan perlu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang.“Saya tidak mahu mempersoalkan kenyatan beliau (Anwar) kerana hormat pandangan pemimpin politik di negara kita.
“Kita kena faham dalam negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen dan dan perlembagaan negara. Kita menegakkan sistem berperlembagaan kita, berpandukan peruntukan perlembagaan negara selain budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri, berhampiran Jalan Lintas di sini, malam ini.Turut hadir calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Luyang, Gee Tien Siong dan calon BN DUN N.19 Likas, Dr Chang Kee.Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, beliau akan tetap memikul amanah tersebut termasuk berusaha mengatasi krisis kesihatan yang sedang melanda dunia dan negara ketika ini.
“Saya tidak perlu sebut ada orang kata (saya guna) pintu belakang tetapi saya datang dari pintu istana.“Kebenarannya adalah bila saya dipilih sebagai Perdana Menteri dan mengangkat sumpah dengan menggunakan nama Allah, ia ini bukan perkara mudah… itu perkara berat.“Disebabkan itu saya diberikan amanat untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri dan tanggungjawab itu saya lakukan,” katanya.Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).Serentak itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Sumber-AWANI