Hafiz Hamidun mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah gedung fabrik kerana menghasilkan kain menggunakan nama ‘Hafiz Hamidun’ tanpa kebenaran.
Menerusi sebuah entri di laman Twitter milik penyanyi Hafiz Hamidun beberapa hari lalu, pelantun lagu Jodoh Berdua itu mahu mengambil tindakan terhadap sebuah gedung fabrik.
Hafiz mahu mengambil tindakan undang-undang kepada gedung fabrik itu kerana menghasilkan kain menggunakan nama ‘Hafiz Hamidun’ tanpa kebenaran.
Tindakan tersebut diambil selepas pihak guaman Hafiz telah berhubung dengan gedung tersebut dan tiada jawapan selepas tempoh 14 hari.
“Saya tidak tahu pun adanya penjualan fabrik menggunakan nama saya sebagai jenama di gedung tersebut. Peminat saya yang memberitahu saya mengenai perkara ini.
“Mereka memuji kualiti kain tersebut dan saya dimaklumkan, fabrik tersebut mendapat permintaan tinggi dan sering habis dijual.
“Saya melakukan penyiasatan dan mereka menggunakan nama Hafiz Hamidun yang dicetak sebagai nama dan label fabrik tersebut. Saya berbincang dengan peguam mengenai perkara ini.
“Pihak peguam memberikan notis 14 hari kepada gedung tersebut untuk selesaikan perkara ini, namun begitu tiada sebarang respon dari pihak mereka.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang dan bakal memanjangkan perkara ini ke mahkamah,” kata Hafiz ketika ditemui oleh Astro Gempak.
Dalam pada itu, wujud segelintir netizen yang menggelarkan Hafiz sebagai seorang yang ‘perasan’ dan berpendapat bahawa Hafiz tidak sepatutnya mengambil tindakan undang-undang kerana ada kemungkinan nama Hafiz Hamidun yang dicetak pada fabrik tersebut adalah milik orang lain.
“Ada sesetengah netizen mengecam saya. Memang saya perasan, kain tersebut memang guna nama saya. Selain menyanyi, saya juga menjalankan perniagaan kurta, jubah dan sebagainya.
“Album studio saya juga menggunakan nama saya. Nama saya sudah menjadi jenama saya. Saya mempunyai 2.3 juta pengikut di laman Facebook, 474,000 pengikut di laman Twitter dan 566,000 pengikut di laman Instagram.
“Ada peminat terpengaruh untuk membeli kerana fabrik tersebut menggunakan nama saya. Ini bukan perihal saya popular atau tidak, saya dikenali atau tidak, tetapi perkara ini tidak seharusnya terjadi.
“Mereka menggunakan nama saya untuk meraih keuntungan. Saya juga tidak melenting dan bukannya saya tidak boleh dibawa berbincang. Saya mencari penyelesaian menerusi cara yang betul.
“Peguam saya sudah menghantar notis selama 14 hari tetapi tiada jawapan, jadi saya hanya bertindak membuat langkah seterusnya mengikut nasihat pihak guaman saya,” katanya lagi.
Hafiz juga kesal kerana kerana selepas notis dihantar, gedung fabrik tersebut telah mengikis huruf H daripada cetakan kain tersebut.
“Bayangkan, selepas 14 hari, mereka tidak memberi sebarang respon tetapi menerusi tinjauan yang dilakukan, pihak gedung itu telah mengikis huruf H. Jadi, kain ‘Hafiz Hamidun’ telah menjadi kain ‘Afiz Amidun’.
“Perkara yang mereka lakukan seakan mempermainkan saya. Saya menghantar notis mengikut saluran yang betul, tetapi tidak berjawab, lebih teruk, mereka mengikis huruf H,” katanya mengakhiri temubual.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Source: Hafiz Hamidun Saman Gedung Fabrik Guna Namanya | Astro Gempak