SEORANG peragawati yang menimbulkan kontroversi kerana melakukan aksi lagak ngeri di Dubai minggu lalu, telah dipanggil pihak polis.
Viktoria Odintcova melakukan aksi tersebut ketika satu sesi fotografi dan video itu kemudiannya dimuat naik ke akaun Instagram dan YouTube miliknya.
Menurut kenyataan pihak berkuasa kepada media Dubai, Odintcova telah diberikan amaran agar tidak melakukan perbuatan yang sama di mana-mana lokasi di bandaraya itu.
Malah peragawati dari Rusia itu telah diminta menandatangani satu perjanjian yang membolehkan dia disaman jika melakukannya sekali lagi.
Dalam video berdurasi lebih enam minit itu, Odintcova melakukan aksi lagak ngeri dari Menara Canyan setinggi 73 tingkat, dengan hanya berpaut pada tangan seorang lelaki, dipercayai pembantunya, tanpa memakai sebarang alat keselamatan.
Laporan akhbar tempatan The National pula menyebut, Odintcova memberitahu dia bersetuju melakukan aksi itu bukan kerana publisiti, sebaliknya untuk mengatasi rasa takutnya pada ketinggian.
Dalam status yang dimuat naik bersama video dan gambar itu, Odintcova menulis kapsyen berbunyi, “Lagak ngeri dilakukan oleh profesional. Jangan cuba di rumah”.
Ia mendapat kritikan ramai memandangkan wanita berusia 23 tahun itu bukan pelagak ngeri profesional dan aksi itu tidak mustahil menjadi ikutan anak-anak muda.
Source: Peragawati buat lagak ngeri dari menara 73 tingkat sudah dipanggil polis | Astro Awani