SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan mengaitkan dirinya sedang merencanakan sesuatu dengan beberapa watak “pengkhianat”.
Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah sebagai helah oleh kumpulan yang kemaruk kuasa untuk dijadikan modal fitnah.
“Saya ingin merujuk dan menjawab tohmahan segelintir kumpulan kononnya saya sedang merencana dengan beberapa watak pengkhianat.
“Ingin saya tegaskan ia ternyata helah kelompok yang kemaruk kuasa. Fitnah akan dijadikan dalih dan alasan mereka bertapak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
“Maka saya membantah sekerasnya dakwaan tersebut,” katanya.
Ahad lalu, media melaporkan bahawa Anwar mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dan Hamzah namun jelas Anwar, semua pertemuan itu dimaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, media hari ini melaporkan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) berpendirian akan menolak sebarang ‘keputusan’ dibuat hasil dari perbincangan yang dibuat bersama Hamzah.
Ini kerana parti-parti itu berpendapat Hamzah adalah ‘dalang’ di sebalik ‘Langkah Sheraton’ yang menumbangkan kerajaan PH pada Februari lalu.