FILEM animasi tempatan BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2) berjaya meraih kutipan sebanyak RM9.9 juta menerusi lima hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Berita gembira ini dikongsikan menerusi media sosial Astro Shaw dan Animosta Studios hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak, yang juga merupakan penerbit serta pengarah filem BBBM2, dia begitu teruja dan tidak menyangka kutipan BBBM2 boleh mencecah RM 9.9 juta dalam tempoh lima hari sahaja.
“Filem BoBoiBoy yang pertama memerlukan 13 hari untuk mendapat jumlah yang sama. Ini menunjukkan penonton di Malaysia sudah menerima dan menyokong animasi tempatan.
“Jutaan terima kasih kepada yang telah menonton dan memberikan komen dan ulasan yang sangat positif. Ia hadir dalam pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat.
“Harapnya trend positif ini akan berterusan dan lebih ramai penonton akan dapat berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, berita gembira ini benar-benar memberikan impak yang positif dalam perkembangan perfileman tempatan.
Jelasnya, walaupun ada filem antarabangsa ditayangkan, filem BBBM2 masih mendapat tempat.
“Kami sangat berterima kasih kepada penonton yang telah menonton.
“Siri jelajah akan diteruskan di beberapa negeri lain pada minggu hadapan. Jika minggu lalu siri jelajah serentak telah diadakan di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Lembah Klang, ia akan diteruskan di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang,” katanya.
Ikuti media sosial Astro Shaw untuk mengetahui senarai lokasi pawagam.
BBBM2 membuka tayangannya menerusi 145 pawagam diseluruh Malaysia, jadi pada anda yang masih belum mendapatkan tiket apa tunggu lagi?
–AWANI