Anda tentu pernah dengar tentang e-wallet. Tapi tahukah anda apa itu e-wallet sebenarnya dan apakah fungsinya dalam kehidupan seharian kita?
Apa itu E-Wallet?
E-wallet (atau Dompet Digital), berfungsi seperti dompet fizikal kita iaitu menyimpan wang, kad debit, kad kredit, dan juga maklumat akaun bank kita dalam satu aplikasi. Untuk lebih terperinci, e-wallet bertujuan untuk menggantikan dompet fizikal supaya kita tidak perlu membawa dompet atau beg tangan ke mana-mana.
Kelebihan E-Wallet
- Mengurangkan jumlah wang yang perlu dibawa ke mana-mana
- Tidak perlu beratur panjang untuk keluarkan wang di ATM
- Transaksi menjadi lebih cepat, tidak perlu tunggu wang baki
- Boleh menyimpan rekod perbelanjaan, tidak perlu simpan setiap resit
- Banyak peluang untuk mendapat pulangan wang dan diskaun
Kekurangan E-Wallet
- Susah digunakan jika kedai penjual atau pedagang tidak mempunyai sambungan internet yang stabil dan laju
- Risiko penipuan, sama seperti penggunaan perbankan internet
- Terlalu banyak e-wallet di pasaran, tidak tahu hendak pilih yang mana satu
Bagaimana Menggunakan E-Wallet?
Mungkin ada sedikit perbezaan untuk setiap e-wallet, tapi prosesnya mudah dan lebih kurang sama.
Selepas memuatnaik e-wallet, pengguna hanya perlu memasukkan sejumlah wang ke dalam aplikasi tersebut untuk digunakan. Sesetengah e-wallet juga membenarkan maklumat kad kredit atau akaun bank dihubungkan melalui aplikasi itu sendiri.
Pengeluaran pula bergantung kepada kemudahan setiap e-wallet. Sebagai contoh, GrabPay membenarkan pengguna untuk menggunakan baki yang ada untuk membayar tambang Grab, manakala Boost membolehkan pengguna membeli apa-apa saja di KK Speedmart. Hanya imbas kod QR dan anda sudah berjaya melakukan pembayaran. Baki wang anda di e-wallet akan ditolak, dan anda boleh masukkan seberapa banyak jumlah wang pada bila-bila masa jika baki tidak mencukupi.
Senarai E-Wallet Yang Ada Di Malaysia
Berikut adalah senarai e-wallet yang ada di Malaysia. Setiap e-wallet mempunyai keistimewaan mereka masing-masing, dan akan kami huraikannya di dalam artikel-artikel yang akan datang.
- Boost
- GrabPay
- WeChat Pay
- Touch n Go Wallet
- BigPay
- FavePay
- SamsungPay
- Paypal
- VCash
- MPay
- KiplePay
- RazerPay
- Ipay88
- Payfy
- MCash
- Setel
- UOB Mighty