Kuala Lumpur 21 Jun : Bangsa Melayu adalah tonggak kestabilan negara ini. Jika nasib orang Melayu tidak dipelihara dan bantuan ke arah kebaikan tidak diteruskan, maka akan sukar untuk seluruh rakyat Malaysia merasai kestabilan yang menyeluruh. Bayangkan jika bangsa Melayu yang majoriti di negara ini miskin, mundur dan kurang pendidikan, maka sebarang bentuk perniagaan atau usahasama dari pihak lain juga akan terbantut. Kuasa membeli pihak majoriti tiada, ini akan mengurangkan keuntungan perniagaan serta ekonomi bagi peniaga dan negara.
Atas dasar itu, satu badan pemikir telah diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Dalam Negeri. Institut Masa Depan Malaysia (MASA) mengumpulkan pakar-pakar pelbagai bidang untuk membantu kerajaan membuat halatuju jelas untuk rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu Islam.
“Kesedaran untuk membentuk satu badan pemikir ini tercetus selepas pilihanraya yang lalu apabila Pakatan Harapan menang, dan ia disokong oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sendiri”, ujar Tan Sri Muhyiddin di majlis pelancaran MASA semalam.
Pakar-pakar MASA terdiri daripada pelbagai bidang yang kritis bagi orang Melayu pada masa kini seperti pendidikan, ekonomi, sosial politik dan lain-lain lagi.
“Ia ditubuhkan tepat pada waktunya untuk kita bersama-sama membantu Kerajaan Pakatan Harapan bagi menaikkan taraf hidup orang Melayu. Dasar yang akan ditekankan haruslah memberi peluang yang samarata kepada semua kaum di Malaysia supaya tiada yang ketinggalan terutamanya orang-orang Melayu”, ujarnya.
“Dasar Kemakmuran Bersama atau sharing prosperity adalah seiring dengan wawasan Perdana Menteri untuk negara kita. Dasar ini juga meliputi halatuju pembangunan orang Melayu”, ujarnya lagi.
MASA
mengalu-alukan semua pihak untuk membantu badan pemikir itu untuk lebih
kehadapan. Maklumat lengkap badan pemikir ini boleh didapati di www. institutmasa.com