spot_img
spot_img

Bahasa Kebangsaan sebagai alat penyatuan bangsa

spot_img

BAHASA memang mempunyai kuasa penyatuan. Ini terbukti sepanjang sejarah dunia. 

Pada zaman purba, Maharaja Shih Huang Ti menggunakan sistem tulisan bersama bagi membolehkan puluhan suku Cina berhubung, yang kemudiannya didapati membawa kepada perpaduan di seluruh China.

Pada zaman moden, Itali dan Jerman melakukannya di Barat dan di rantau ini, Indonesia membuktikannya.

- Advertisement -

Oleh itu, kita juga mahu menggunakan kaedah penyatuan linguistik dalam usaha membentuk negara bangsa yang bersatu.

Ini dapat dilihat pada Penyata Razak 1956 untuk menyatukan anak-anak dari semua bangsa dalam negara ini, dengan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita, sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Iktikad murni ini cekal didukung dalam Akta Pendidikan 1961 dan 1996 yang mengawal perjalanan pendidikan di negara ini.

- Advertisement -

Kini, setelah 61 tahun ia dilancarkan, tidak salah kalau dikatakan iktikad itu belum terlaksana dengan jayanya.

Ini kerana terdapat polarisasi kaum yang wujud di sekolah, berterusan di institusi pengajian tinggi, dan mantap di tempat kerja.

Ia petanda bahawa bahasa Melayu yang dihasratkan sebagai faktor penyatuan gagal berperanan dalam sistem pendidikan kita.

Untuk mengetahui sebab kegagalannya, kita perlu melihat kepada kes ia berjaya. Secara umum, kefasihan dalam bahasa yang ingin dijadikan alat penyatuan wajib ada pada mereka yang terlibat dalam proses ini.

Bahasa itu didapati bukan sahaja dikuasai dengan baik, tetapi dibanggai serta disayangi, misalnya di Indonesia oleh segenap lapisan masyarakat dan di seluruh pelosok republik itu.

Kefasihan

Hal ini terjadi terutamanya kerana kefasihan tidak wujud di negara ini. Rakyat kita dan bilangannya tidak kecil, didapati masih ada yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik, walaupun mereka pernah mempelajarinya.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan murid di sekolah vernakular. Di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) misalnya, murid Cina rata-ratanya hanya mengetahui, lantas fasih berbahasa Mandarin.

Bahasa Melayu yang ikut dipelajari didapati tidak berjaya dikuasai dengan baik, sedangkan ia bahasa negara yang merupakan bahagian penting dalam nasionaliti mereka.

Sama pentingnya di sini ialah bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Apabila tidak ada unsur kefasihan ini sebagai syarat utama, mana mungkin ia boleh berperanan sebagai alat penyatuan dengan jayanya di negara ini, seperti yang berlaku di tempat lain.

Ketidakfasihan dalam kalangan murid Cina di SJKC diakui masyarakat Cina yang memberi alasan beban mempelajari tiga bahasa, termasuk bahasa Inggeris, pada usia yang muda.

Dalam pada itu, mereka juga menegaskan hak etnik Cina untuk mempelajari bahasa ibunda mereka.

Ini benar, tetapi hak itu juga hendaklah disertai kewajipan menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini.

Oleh itu, rakyat yang belum fasih perlu menguasai bahasa Melayu bukan sahaja secara serius agar fasih, tetapi juga secara integratif untuk tujuan penjalinan persahabatan mesra dengan etnik Melayu yang merupakan kelompok majoriti dan dominan.

Dengan ini, melalui bahasa Melayu sebagai alat komunikasi pertama-tamanya, bukan sahaja ukhwah tulen akan wujud kemudiannya, ia juga akan membawa kepada permuafakatan ikhlas nanti, setelah kita lebih kenal-mengenali antara satu sama lain.

Untuk menangani masalah tidak fasih ini, etnik Cina misalnya, perlu menerima cadangan kerajaan untuk menambah waktu pendidikan bahasa Melayu dan menyelaras sukatan pelajarannya agar bahasa Melayu tinggi ikut diajar di sekolah vernakular.

Penyatuan

Kefasihan yang diperlukan ini juga akan membentuk sikap positif, sama ada kepada bahasa Melayu itu sendiri, mahupun terhadap etnik Melayu sebagai penutur natifnya.

Sikap ini didapati penting untuk memupuk perpaduan yang diperlukan. Inilah caranya bahasa menyatukan ummah.

Ia perlu bermula dengan penguasaan yang baik, untuk membolehkan wujudnya komunikasi berkesan.

Persahabatan mesra yang menyusul nanti akan mengikat kita sebagai bersaudara dalam satu komuniti nasional.

Prosesnya cukup mudah setelah ditinjau pada kes kejayaan bahasa negara menyatukan rakyat di serata tempat. Ramuan asasnya ialah kefasihan.

Walaupun begitu, ia masih tidak dapat dilakukan dengan baik di negara ini. Sehubungan itu, masih belum terlambat mahupun 6o tahun sudah berlalu tanpa hasil yang baik.

Yang penting di sini ialah kita perlu insaf untuk menyedari kesilapan lampau, agar dapat terus bergerak maju, khususnya dalam kerangka menuju negara maju wawasan 2023

Satu tekad yang diperbaharu diperlukan dalam kalangan rakyat jelata untuk menghayati gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan bagi tujuan penyatuan.

Untuk ini, bahasa Melayu hendaklah dikuasai dengan baik sekali, selain dibanggai dan disayangi sepenuhnya oleh setiap rakyat negara ini.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img