LANGKAWI 25 Mei – Kerajaan akan berusaha untuk terus menarik pelaburan luar agar dapat memperkukuhkan kembali nilai ringgit yang kini menghampiri kerugian bagi tempoh empat minggu berturut-turut.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah jangka pendek itu bagi memulihkan keadaan ekonomi negara yang secara tidak langsung akan dapat menjadikan ringgit kembali sihat.
Menurutnya, perang perdagangan yang memberi kesan kepada ringgit akan dapat diatasi sekiranya negara dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sektor pengimportan.
“Ya, perang pedagangan adalah satu perkara yang memberi kesan dan menyebabkan ringgit menjadi lemah, tetapi kalau kita dapat bebas daripada import yang banyak ringgit kita tidak akan lemah.
“Umpamanya kalau kita mengeluarkan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan ternakan sendiri kita tidak bergantung kepada bekalan dari negara lain dan dapat mengukuhkan ekonomi negara kita yang seterusnya menjadikan ringgit lebih sihat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA), di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John; Pegawai Daerah, Muhamad Arof Darus dan Pegawai Kemajuan negeri, Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Dr. Mahathir mengulas keadaan ringgit yang ditutup petang semalam pada paras RM4.1900 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan dilaporkan berada di bawah tekanan sejak akhir Mac lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai lambakan pekerja asing yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu, beliau berkata, kerajaan mahu menghapuskan pekerja asing namun berdepan kesukaran.
“Kita hendak menghapuskan pekerja asing tetapi tidak dapat kerana orang kita tidak sanggup untuk bekerja.
“Saya tahu mereka memang tak sanggup bekerja dalam sektor berat tetapi di restoran dan pasaraya termasuk yang berhawa dingin pun mereka tidak mahu bekerja,” ujarnya.
Tambah beliau, kebergantungan kepada tenaga kerja itu turut dilihat memberi kesan kepada kemerosotan nilai ringgit yang disebabkan pengaliran keluar wang yang tinggi. -UTUSAN ONLINE