KUALA LUMPUR 22 Mei – Generasi muda merupakan golongan yang paling hebat dilanda masalah pembiayaan hartanah memandangkan pendapatan yang tiada perubahan di negara ini, menurut Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2018 oleh PropertyGuru.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez (gambar) berkata, cabaran lain yang dihadapi oleh pembeli rumah yang mencari pembiayaan adalah kurang biasa dengan kertas kerja diperlukan, sejarah kredit tidak memberangsangkan, sumber pendapatan tidak menentu dan hutang-hutang belum dijelaskan.
“Ia menyumbang kepada nisbah khidmat hutang yang tinggi di negara ini seperti pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan hutang kad kredit yang belum dijelaskan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kajian itu juga mendapati lebih separuh daripada responden terpaksa mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka sekurang-kurangnya sekali untuk membeli hartanah dan sebanyak 67 peratus rakyat Malaysia mempunyai peruntukan sebanyak RM500,000 atau kurang untuk pembelian hartanah.
Ia menyokong laporan Bank Negara Malaysia baru-baru ini yang mendapati 61 peratus daripada pinjaman yang diluluskan pada 2018 adalah untuk hartanah bernilai kurang daripada RM500,000.
Tambah Fernandez, kadar sambutan terhadap program perumahan mampu milik adalah rendah meskipun terdapat permintaan pada inisiatif tersebut.
“Contohnya hanya 19 peratus responden memohon untuk skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sementara empat hingga sembilan peratus untuk inisiatif lain seperti Rumah Selangorku, RumaWIP, Skim Rumah Pertamaku, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan MyHome,” katanya.
Mengenai tahap kepuasan rakyat, Fernandez berkata, terdapat peningkatan daripada tujuh peratus pada separuh pertama 2013 kepada 22 peratus bagi tempoh sama tahun lalu terhadap usaha kerajaan dalam menyediakan hartanah mampu milik.
Katanya, sentimen itu berlaku gara-gara persepsi masyarakat yang percaya bahawa harga hartanah di negara ini akan kekal tinggi.
“Perubahan ini menggambarkan peningkatan keyakinan rakyat terhadap inisiatif sektor awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan juga bagaimana kerajaan mahu menaikkan lagi taraf mereka dalam menyediakan inisiatif perumahan negara yang lebih mampu milik,” ujarnya.