SANDAKAN: Kejayaan terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan dasar rasuah.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tidak banyak negara di dunia yang melakukan kejutan untuk membawa transformasi daripada sistem lama kepada yang baru dan kejayaan kerajaan PH itu menjadi sejarah penting.
Katanya, kerajaan PH juga akan berpegang kepada pendirian tidak menerima mana-mana menteri atau pemimpin yang melakukan rasuah atau cuma berminat untuk mendapatkan pangkat serta projek.
“Kalau ada mana-mana menteri atau pemimpin rasuah, kita janji mesti buang, jangan tunggu lagi. Itu kejayaan terbesar PH dan sekarang kita kena bangkit membantu rakyat yang susah tidak kira dia orang Cina, Melayu, India, Iban atau Kadazan.
“Jika anda mahu kerajaan lebih kuat, tukar dasar lama yang ‘corrupt’ (rasuah) kepada yang baru, kita perlu sokongan daripada semua rakyat dari Port Dickson ke Sandakan. Misi kita mesti bersatu padu dan kuat.
“Kalau Vivian (Vivian Wong Shir Yee) menang (dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan), ini juga akan menjadi dasarnya. Ini (dasar) perlu kita jaga kerana ia juga pendirian DAP,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum di Bandar Prima di sini, malam ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata PH baru setahun mengambil alih kerajaan dan perlu memperbetulkan masalah yang ditinggalkan kerajaan lama terutama bebanan hutang negara.
Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu bersabar dan memberi peluang kepada PH untuk menangani setiap masalah termasuk isu keselamatan di Sabah bagi memastikan ekonomi rakyat di negeri ini mampu berkembang.
“Soal keselamatan, kalau boleh kita nak selesai dengan baik dan cepat. Kalau tak, ekonomi tak berkembang, perniagaan barter trade (tukar barang) kena jalan, keselamatan mesti diutamakan dan kita perlu pastikan tiada lagi penculikan dan rompakan.
“Saya janji akan cakap juga (isu soal keselamatan) dengan Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri untuk cuba cari jalan mempercepatkan (tangani) soal keselamatan,” katanya.
Anwar berkata, beliau yakin jika kerajaan terus setia dengan pendirian menolak amalan rasuah dan menunaikan segala janji kepada rakyat serta mengambil kira kepentingan semua kaum, PH akan terus disokong rakyat termasuk di Sandakan pada PRK berkenaan.