1. Malaysia merupakan bumi bertuah, negara muda dan banyak memberi keselesaan dan kesenangan kepada rakyatnya. Kelebihan yang banyak juga kepada penduduk Pribumi atau Bumiputera.
2. Pelbagai bantuan diberikan. Pinjaman, pembiayaan sama ada dalam pendidikan atau perniagaan. Membeli rumah juga kaum Pribumi ini mendapat keistimewaaan rebat. Ini tidak terdapat di negara maju lain sebagai contoh Amerika Syarikat. Tiada pemberian diskaun kepada warga kulit putih atau ‘red-indian’ mereka untuk membeli sesuatu hartanah atau dalam perkara lain dalam suatu bentuk perlindungan atau kelebihan bagi penduduk Pribumi dan penduduk majoritinya.
3. Apabila hampir 60 tahun ‘dimanjakan’ dengan pelbagai bantuan, kita harus akui ia merupakan suatu dasar yang tidak berjaya. Di manakah kaum Pribumi Malaysia ketika ini ? Segmen hartanah diskaun juga mereka tidak mampu mempelopori lagi, belajar biasiswa juga mereka tidak cemerlang. Pelajar Pribumi lebih gemar mengejek menteri dari belajar, apatah lagi dalam mempelopori dalam bidang teknologi yang boleh memberi manfaat kepada semua dan negara.
4. Apabila Bapa Permodenan Malaysia, Perdana Menteri Malaysia ketika ini, Tun Mahathir yang banyak menjadi juara di dalam melindungi kaum Pribumi ini dihina oleh pemandu teksi yang rata-rata juga terdiri dari kaum Pribumi, kita rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi generasi baru harus membuka mata dan mengambil iktibar.
5. Kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada orang lain. Kalau kita tidak mampu untuk membeli beras, tidak mampu menukar tayar kereta, tidak mampu untuk menyelenggara kereta ataupun tidak mampu membayar sewa kereta, maka kita selalu suka menyalahkan dan menghina orang lain atas kekecewaan dan kegagalan diri, maka ini merupakan suatu penyakit yang sangat buruk yang harus dijauhi oleh generasi Malaysia baru.
6. GRAB dipunyai dan diasaskan oleh anak Tan Choong Motors , pengedar utama kenderaan Nissan di Malaysia. Secara ringkas, anaknya meniru konsep UBER yang terkenal di seluruh dunia ketika belajar di Amerika Syarikat. Anak pengusaha Malaysia yang berbangsa cina ini sedar yang UBER terdapat kelemahan di pasaran Asia. Iaitu kredit kad. Tidak semua orang Asia mempunyai kredit kad seperti negara maju. Jadi dia memperkenalkan pembayaran tunai. Penumpang dan pemandu gembira. Harga UBER berubah-ubah mengikut kesesakan jalanraya, ia menjadi mahal di waktu puncak. GRAB terus menetapkan harga sama ada sesak atau tidak, maka penumpang gembira. GRAB melebarkan sayap ke Asia Tenggara terutama Indonesia, memperkenalkan GRAB untuk motosikal di sana, ia sangat berjaya di kota-kota besar seperti Jakarta & Surabaya. GRAB membantu peluang pekerjaan bukan hanya di Malaysia tetapi di Asia Tenggara bagi orang yang hanya mempunyai motosikal dan menggembirakan penumpang kerana boleh mengelak ‘macet’ atau trafik yang sesak di Indonesia. Penumpang GRAB berasa lebih selamat, dengan pemandu yang professional (generasi baru) dan kereta yang baik. Tiada penipuan harga kerana pemandu dan penumpang telah bersetuju dengan harga destinasi sebelum bermula. Sekarang GRAB menyediakan servis menghantar makanan dan juga logistic. Peluang pekerjaan bertambah. Teknologi semakin hebat. Kini grab bernilai hampir US$1 billion semasa IPO yang lalu. Malaysia Boleh. Kita berbangga walaupun ia bukan diasaskan oleh kaum Pribumi. Ramai pemandu dan penumpang pula adalah dari kaum Pribumi.
7. Pemandu teksi Malaysia ? Penulis tidak mahu bercerita langsung berkenaan keburukan yang sering kita dengar berkenaan pemandu teksi. Isu ini sudah lama dan tidak selesai. Penat dan negatif sahaja. Melayan tenaga negatif adalah tidak baik untuk minda. Baik kita sarankan supaya mereka kembali belajar perkara asas dahulu seperti menghormati orang lain, berintegriti, amanah, jujur, bangga dengan pekerjaan mereka kerana ia adalah ibadah dan juga kerana mereka adalah duta negara kepada pelancong. Hinggakan Perdana Menteri sendiri mereka berani hina, apatah lagi orang biasa di jalanan. Generasi baru harus dididik dengan budaya berhemah tinggi. Kita harus bermula sekarang. Yang ‘lama’ mungkin tidak dapat dibentuk lagi, yang ‘baru’ harus bermula dari rumah dan dari kerusi sekolah sekarang. Ya, ia mengambil masa, tetapi ini yang negara kita perlukan termasuk juga untuk memerangi rasuah. A positive civic minded generation. Ya, memang ini tidak menyelesaikan isu teksi pada masa ini, namun secara keseluruhan dan jangka masa panjang, inilah yang kita perlukan untuk menyelesaikan semua masalah yang ada di negara kita. Kembali kepada pendidikan. Kementerian Pelajaran harus merombak sistem pendidikan kita. Sistem pendidikan yang ada kini hanya utuk menjawab peperiksaan dan untuk memasuki sekolah yang ada nama sahaja. Bukan untuk melahirkan manusia yang terbaik.
8. Kerajaan tidak mampu menyelamatkan semua. Namun kerajaan pasti akan buat yang terbaik. GRAB adalah terbaik di antara dua pilihan pada ketika ini. Ia telah dan sedang menyumbang kepada ekonomi, kekuatan peluang perkerjaan dan inovasi teknologi. Siapakah yang akan kerajaan bantu lebih ? Bagi pendapat penulis, Malaysia baharu, kita harus membantu dan menyokong mereka yang mampu membantu lebih ramai lagi.
9. Di dalam pertemuan dengan Perdana Menteri baru-baru ini , Tun Mahathir berkata, kepada penulis, ramai yang menyuruh beliau menggunakan tongkat bila berjalan. Tun Mahathir menolak idea ini, kerana menurut beliau jika sudah terbiasa dengan tongkat, maka hidup akan terbiasa untuk mencari tongkat untuk bergerak ke mana-mana sahaja. Fikir-fikirkan lontaran ayahanda Tun Mahathir.
Sentiasa berdiri atas kaki sendiri.
Razz
President of Malaysian Professional Association
Timb. Ketua Bahagian PPBM Johor Bahru