PETALING JAYA: Tujuan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kini dipersoal kerana dianggap sudah menyeleweng daripada agenda rakyat.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai ketakutan Muhyiddin terhadap kesnya di mahkamah adalah sangat signifikan.
“Saya tidak mahu terlalu fokus kepada dakwaan penyorokan wang, tetapi lebih kepada anggapan Tun Mahathir mengenai ketakutan Muhyiddin terhadap proses mahkamah.
“Kenyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir membuktikan bahawa bukan hanya segelintir pihak dapat melihat penyimpangan motivasi Muhyiddin, tetapi ia sudah menjadi pengetahuan umum.
“Ini menunjukkan bahawa motivasi sebenar Muhyiddin dalam memegang jawatan Perdana Menteri telah jauh menyimpang daripada agenda yang sepatutnya menekankan kebajikan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, tular satu klip video kononnya Dr. Mahathir mendedahkan kononnya Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri kerana takut dipenjarakan berhubung kes membabitkan manipulasi wang Bersatu.
Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri itu bahawa beliau mengambil wang parti seperti yang disebut dalam klip video berkenaan.
Wan Saiful berkata, Bersatu perlu segera kembali kepada landasan asalnya sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat dan bukannya membiarkan parti diperkuda untuk menyelamatkan diri dan keluarga.
“Ini bukan masa untuk berdiam diri. Akar umbi perlu bangkit demi masa depan parti dan kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak boleh membiarkan motivasi individu menyeleweng daripada agenda yang lebih besar. Parti perlu kembali kepada asas perjuangan asal,” katanya.
Sumber – UTUSAN

















