PETALING JAYA: Infomina Geolytik Sdn Bhd (Infomina Geolytic), anak syarikat Infomina Bhd memperkenalkan PaymentXchange, platform pembayaran hartanah pertama di Malaysia yang menekankan ketelusan dan keselamatan bagi melindungi deposit pembeli dalam urus niaga hartanah.
Platform yang disokong oleh PEPS Ventures Bhd, anak syarikat Persatuan Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS Ventures), PaymentXchange menghubungkan pembeli hartanah dengan agensi hartanah berdaftar, memastikan deposit dimasukkan ke dalam akaun agensi yang disahkan melalui Chip Asia, gerbang pembayaran yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying bagi merasmikan pelancaran PaymentXchange, hari ini.
Hui Ying menekankan kepentingan pendigitalan, pematuhan dan integriti pasaran ketika Malaysia melangkah ke fasa pelaksanaan Belanjawan 2026 dan tahun pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Bagi menyokong pematuhan terhadap Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), pembeli hartanah kini dilindungi daripada aktiviti penipuan, manakala proses deposit dan kelulusan pinjaman menjadi lebih telus, sekali gus membolehkan bank serta institusi kewangan mengurus risiko dengan lebih yakin,” kata Hui Ying.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng, berkata PaymentXchange dibangunkan berdasarkan kepakaran teknologi setaraf perbankan yang dimiliki Infomina untuk membawa transformasi digital yang meningkatkan kecekapan dan kepercayaan dalam sektor hartanah tempatan.
“Baru-baru ini, ValuationXchange telah dilancarkan untuk meningkatkan ketelusan dalam penilaian hartanah. Kini, PaymentXchange memperkukuh lagi usaha ini dengan melindungi deposit pembeli dan memperkemas pematuhan dalam aliran transaksi. Kedua-dua platform ini merupakan perubahan besar ke arah integriti pasaran hartanah Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Infomina Geolytik, Joe Thor, berkata objektif utama platform ini ialah menjadikan setiap proses transaksi lebih jelas, selamat dan pantas.
“PaymentXchange memberi kuasa kepada pembeli rumah untuk berurus niaga dengan yakin dalam persekitaran yang selamat dan telus. Selain melindungi deposit, platform ini juga memastikan proses pembelian rumah lebih lancar dengan membolehkan pembeli memulakan proses pinjaman mereka dengan mudah melalui ValuationXchange.
“Dengan hanya satu klik, permintaan pinjaman boleh disalurkan ke ValuationXchange, yang berhubung dengan bank-bank dan penilai berdaftar yang membolehkan keputusan pinjaman dibuat dengan lebih pantas dan tepat oleh institusi kewangan,” katanya kepada BH.
PaymentXchange juga menekankan ketelusan yang sedia diaudit bagi mengelakkan kes AMLA dan memberi perlindungan kepada pengguna serta memperkukuh kepercayaan dalam urus niaga hartanah negara.
Thor berkata, antara 2021 hingga 2024, dianggarkan lebih RM300 juta telah lesap akibat penipuan berkaitan urus niaga hartanah termasuk kes penipuan jual beli tanah dan hartanah palsu yang semakin berleluasa.
“Walaupun sektor hartanah terus berkembang, risiko penipuan kewangan turut meningkat. Antara yang sering berlaku ialah pautan atau kod QR yang dihantar kepada pembeli, kononnya mewakili agensi hartanah berdaftar. Namun, apabila pembeli membuat pindahan wang, akaun yang digunakan sebenarnya bukan akaun klien berdaftar tetapi akaun peribadi individu tertentu,” katanya.
Majlis pelancaran turut disertai pemimpin industri hartanah termasuk lebih 10 agensi hartanah yang mewakili lebih 10,000 ejen dan perunding berdaftar sebagai peneraju awal PaymentXchange, termasuk ESP Global, Reapfield Properties, Firdaus & Associates Real Estate Agency, E Trend Realty, Hartamas Real Estate (Malaysia), IM Global Property Consultants, GPlex Realty, Vivahomes Realty, Megaharta Real Estate, Shah Real Property Consultants, MLP Properties, Hartagrid Properties, dan Chester Properties.
Sumber : Berita Harian

















