PETALING JAYA: Pindaan yang dicadangkan terhadap Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, peruntukan dalam rang undang-undang itu untuk memperkenalkan latihan modular dan mikro kelayakan serta mempertingkatkan pengiktirafan pembelajaran terdahulu.

(Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman)
“Ini sekali gus menstruktur semula laluan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan memberi pengiktirafan yang telah lama dinantikan kepada ribuan pekerja mahir dan berpengalaman di seluruh negara.
“Jadi, MEF mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 10 November lalu oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan untuk mengiktiraf secara rasmi kepakaran pekerja mahir yang telah memperoleh kecekapan melalui pengalaman kerja bertahun-tahun harus dipuji.
“Ramai daripada mereka seperti mekanik, juruteknik mesin, jurukimpal, juruelektrik dan juruteknik merupakan tulang belakang industri Malaysia, namun tidak berpeluang memperoleh pensijilan rasmi.
“Pindaan ini akan membolehkan pekerja-pekerja ini diiktiraf secara rasmi di bawah Kerangka Kelayakan Kemahiran Kebangsaan, sekali gus memberikan mereka peluang mobiliti kerjaya, kebolehpasaran dan kredibiliti profesional.
“Inisiatif ini juga memastikan sumbangan mereka dihargai sebagai sebahagian penting dalam kemajuan industri dan ekonomi Malaysia,” ujarnya.
Syed Hussain menekankan pengenalan laluan latihan modular dan mikro kelayakan merupakan langkah progresif dan tepat pada masanya yang selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini yang dinamik.
“Dengan membolehkan golongan dewasa bekerja mengikuti modul latihan yang lebih pendek, fleksibel dan boleh digabungkan, pindaan ini menangani salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh majikan dan pekerja iaitu kesukaran mengimbangi komitmen kerja serta peningkatan kemahiran.
“Pendekatan ini memastikan peningkatan kemahiran dapat dilaksanakan tanpa mengganggu operasi perniagaan atau sumber pendapatan pekerja, sekali gus mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah tenaga kerja yang lebih mahir dan berdaya saing,” ujarnya.
Tambahnya, MEF turut menyokong penstrukturan semula sistem SKM bagi membolehkan individu mencapai status kepakaran di peringkat yang lebih tinggi.
“Langkah ini akan meningkatkan persepsi terhadap kelayakan TVET agar setara dengan laluan akademik serta mengukuhkan komitmen kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai pilihan kerjaya utama, bukan sekadar pilihan kedua.
“Majikan juga akan mendapat manfaat daripada kerangka pensijilan kemahiran yang lebih telus dan boleh dipercayai, yang dapat menunjukkan dengan jelas tahap kecekapan dan kemahiran pekerja.
“Ini akan mempertingkatkan kecekapan pengambilan pekerja, padanan bakat dan hasil produktiviti,” katanya.
Sebelum itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Kheong mengumumkan, dua pindaan akta penting berkaitan pembangunan kemahiran telah dibentangkan di Parlimen bagi Bacaan Pertama, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 [Akta 652] dan Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640].

(Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Kheong)
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa pindaan terhadap kedua-dua akta tersebut merupakan langkah penting Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh sistem pembangunan kemahiran negara.
Ia juga bagi memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi cabaran ekonomi yang berteraskan kemahiran dan teknologi pada masa hadapan.
“Langkah ini membolehkan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) memberikan pinjaman dan bantuan kewangan kepada lebih ramai rakyat Malaysia, termasuk mereka yang mengikuti program latihan bukan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tetapi mempunyai permintaan tinggi oleh industri.
“Melalui pindaan kepada kedua-dua Akta ini, KESUMA yakin sistem pembangunan kemahiran negara akan menjadi lebih inklusif, fleksibel dan berimpak tinggi selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kemahiran, kebajikan dan keberhasilan rakyat”, menurut kenyataan itu,” katanya.
Antara elemen utama dalam RUU Pindaan Akta 652 termasuk menambah keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan bagi merangkumi kementerian strategik serta badan profesional, sekali gus menjadikan dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan lebih inklusif.
Pindaan tersebut juga akan mengiktiraf program latihan kemahiran di luar National Occupational Skills Standard (NOSS) untuk tujuan pembiayaan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Sementara itu, RUU Pindaan Akta 640 pula bertujuan memperluas skop pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, termasuk memperluas skop Pinjaman Latihan Kemahiran dan Bantuan Kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Pindaan itu juga bertujuan memperkukuh tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan kewangan yang lebih telus, serta meningkatkan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan termasuk menetapkan tempoh had tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan perjalanan terhadap peminjam ingkar.
Dalam pada itu, Steven Sim turut memaklumkan bahawa bacaan kedua bagi pindaan akta-akta tersebut akan dibentangkan dalam sesi Parlimen yang sama.
“Bacaan kali kedua juga akan diadakan dalam mesyuarat kali ini,” katanya di Dewan Rakyat pada 10 November lalu.
Sumber – RTM & UTUSAN

















