PETALING JAYA: “Jangan salahkan akar umbi jika Pas meninggalkan Perikatan Nasional (PN).”
Demikian amaran Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada kepemimpinan tertinggi parti susulan pergolakan dalaman Bersatu yang semakin meruncing.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi berkata, ramai ketua-ketua bahagian yang kecewa dengan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa gagal menangani konflik kepemimpinan serta isu disiplin dalam kalangan pimpinan parti.
“Jangan salahkan kami di bawah. Kami sudah beri nasihat, kami sudah minta selesaikan segera.
“Kalau Pas membuat keputusan untuk keluar dari gabungan PN, itu kerana kita gagal uruskan masalah sendiri. Pas pun sudah bagi masa pada kita untuk selesaikan segera. Malah, kita juga faham Pas tidak mahu jadi pembangkang selamanya.
“Sebab itu ramai ketua bahagian kecewa. Kita tidak ada pilihan lain. Tan Sri (Muhyiddin) sudah tidak mampu kawal naratif yang berlaku ini. Dia memihak kepada sebelah pihak sahaja dan ini menyebabkan 120 bahagian sudah tidak sehaluan,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Isa turut mendedahkan bahawa beberapa ketua bahagian telah cuba mengadakan pertemuan langsung dengan Muhyiddin, namun usaha itu gagal kerana beliau didakwa enggan bersemuka.
Mengulas mengenai beberapa pemimpin dan ketua bahagian yang dipecat dan digantung pada ketika ini, beliau beranggapan tindakan tersebut hanya menjejaskan parti.
“Malah, kenyataan Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham bahawa pemimpin yang menentang Presiden tidak akan diberi peluang untuk kembali ke dalam parti itu melanggar perlembagaan parti.
“Kenyataan itu mendahului Lembaga Disiplin, sebenarnya yang buat masalah dalam adalah mereka yang buat aktiviti tidak senonoh, dengan video yang diuar-uarkan membabitkan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Sandakan, sikap Armada Bersatu yang pukul wanita.
“Jadi yang bermasalah adalah mereka, pecatlah kalau berani,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan pemimpin Bersatu yang dipecat kerana menentang kepemimpinan Muhyiddin tidak akan diberi peluang untuk kembali ke dalam parti itu walaupun dibenarkan mengemukakan rayuan.
Jelas Muhammad Hilman, tindakan mereka selepas dikenakan hukuman jelas menunjukkan tiada keinsafan, sebaliknya terus menimbulkan kekacauan dan memburukkan keadaan dalam parti.

















