spot_img
spot_img

Kemahiran adalah ‘matawang’ baru yang berharga

spot_img

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penganjuran Global Skills Forum 2025 di Kuala Lumpur sebagai satu pengiktirafan besar dunia terhadap komitmen Malaysia dalam memperkasa pembangunan kemahiran tenaga kerja di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, forum anjuran International Labour Organization (ILO) itu buat julung kalinya diadakan di luar Geneva, Switzerland sejak penubuhannya, sekaligus membuktikan kepercayaan global terhadap keupayaan Malaysia memimpin agenda kemahiran di rantau ini.

“Lebih bermakna apabila forum ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah ILO, H.E. Mr. Gilbert F. Houngbo bersama delegasi dari hampir 50 buah negara. Kehadiran mereka menunjukkan pengiktirafan dunia terhadap komitmen Malaysia dalam memimpin agenda pembangunan kemahiran,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya selepas merasmikan majlis berkenaan hari ini.

- Advertisement -

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, Malaysia amat berbangga menjadi negara pilihan pertama bagi penganjuran forum berprestij tersebut.

Beliau menegaskan, dalam dunia yang berubah pantas, kemahiran adalah aset paling penting yang menentukan daya tahan dan masa depan sesebuah bangsa.

“Saya percaya bahawa dalam dunia yang sedang berubah pantas ini, skills are the new currency. Kemahiranlah yang akan menentukan daya tahan, nilai dan masa depan sesebuah bangsa,” ujarnya.

- Advertisement -

Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran forum itu turut seiring dengan ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025 di bawah ASEAN-Malaysian Chairmanship 2025, di mana Malaysia memberi tumpuan kepada penyelarasan antara pendidikan dan industri, pemerkasaan golongan muda serta pengiktirafan kemahiran rentas sempadan.

Tambahnya, usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama daya saing dan kemajuan ekonomi negara.

“Insya-Allah, Malaysia akan terus memperkukuh ekosistem TVET berteraskan ilmu, nilai dan kemahiran agar tenaga kerja kita kekal relevan, beretika dan berdaya saing dalam dunia yang sedang berubah pantas,” katanya lagi.

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img