PETALING JAYA: Karier politik MIC berisiko berakhir kerana tidak mempunyai hala tuju yang inklusif sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, langkah berani MIC meninggalkan BN bukanlah keputusan strategik, sebaliknya boleh menjadi titik akhir kelangsungan parti itu dalam arena politik negara.
“MIC wajar kekal dalam BN. Jika mereka keluar dan bergerak secara solo, itulah pengakhiran kepada MIC. Sekiranya menyertai blok pembangkang, mereka pula terpaksa bersaing dengan dua hingga tiga parti yang berasaskan kaum India.
“Dalam BN, MIC merupakan satu-satunya parti utama mewakili masyarakat India, sekali gus memberi kelebihan dari segi kedudukan dan rundingan. Mereka hanya perlu menunggu kekuatan UMNO untuk pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa BN tidak pernah memaksa mana-mana parti komponen termasuk MIC untuk kekal atau keluar daripada gabungan itu.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali pula berkata, MIC tidak mempunyai kekuatan bergerak sendirian memandangkan tiada satu pun kawasan mempunyai majoriti pengundi India.
Katanya, MIC wajar kekal bersama BN kerana tidak mempunyai pilihan ketika ini.
“Kalau bertanding solo, memang tiada peluang. Pengaruh MIC di kalangan masyarakat India juga boleh dipersoalkan. Jadi hanya bersama BN sahaja, MIC boleh bertahan.
“Sekiranya MIC memilih untuk menyertai Perikatan Nasional, parti itu akan berdepan penolakan lebih besar daripada pengundi bukan Melayu kerana PN membawa naratif politik Melayu-Islam,” katanya.
Sumber – UTUSAN

















