ISKANDAR PUTERI, 17 Okt — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membangunkan sistem perolehan dipacu kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan ketelusan dan integriti dalam operasi kerajaan, dengan projek percubaan akan dijalankan di Johor tidak lama lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Johor yang pesat membangun mesti memberi perhatian kepada isu integriti, kerana pertumbuhan ekonominya yang aktif mendedahkan negeri itu kepada kes rasuah berskala besar.
“SPRM sentiasa bersedia membantu kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus dan memastikan integriti dalam setiap pelaksanaan dasar,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan SPRM.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sesi Penglibatan SPRM bersama Adun Johor, yang berlangsung di Dewan Mesyuarat, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini semalam.
Sementara itu, SPRM, dalam kenyataan sama, berkata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengesahkan komitmen penuh kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan SPRM dalam memperkukuh integriti dan meningkatkan keyakinan pelabur di Johor.
Kerajaan Johor, bersama-sama ahli Exco kerajaan negeri dan semua ADUN, akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada SPRM bagi memastikan Johor terus berada di landasan tadbir urus yang baik, ketelusan dan integriti.
“Kehadiran SPRM di Johor memberi peluang berharga untuk meningkatkan sistem pentadbiran negeri, khususnya dari segi integriti dan kecekapan,” kata menteri besar itu.
Onn Hafiz turut menyatakan sokongan kerajaan negeri terhadap kempen bebas rasuah (KMC – Keep Malaysia Clean) SPRM, yang menurutnya sejajar dengan aspirasi Johor dan Malaysia MADANI.
“Jika SPRM ada kempen KMC, Johor boleh mengamalkan semangat Kep Johor Johor (KJC), selaras dengan hasrat kita untuk membangunkan negeri ini dengan integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Sumber — Bernama

















