GEORGE TOWN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tasek Gelugor menyokong penuh tindakan Lembaga Disiplin parti itu yang memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang berkata, sehubungan itu, mereka tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung pemecatan Wan Saiful yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu.
Kami (Bersatu Bahagian Tasek Gelugor) tidak akan membuat rayuan kerana tindakan beliau (Wan Saiful) jelas melanggar etika parti.
“Bagi kami, tindakan tersebut (pemecatan) tepat pada masanya dan kami tak akan ambil apa-apa tindakan susulan.
“Kami juga menyokong penuh kepimpinan Tan Sri (Muhyiddin Yassin) sebagai Presiden (Bersatu),” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai kesan pemecatan tersebut terhadap gerak kerja Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) di Tasek Gelugor selepas ini, Azmi berkata, ia tidak akan memberi kesan langsung ke atas parti terbabit.
“Rakyat sekarang bukan macam rakyat tahun 60-an atau 70-an dulu. Mereka sekarang lebih bijak menilai dan dalam hal ini, saya percaya rakyat akan lebih memilih parti berbanding individu.
“Beliau (Wan Saiful) ini sebenarnya umpama ‘serangga’ sahaja dalam parti. Dia ada atau tak ada, takkan bawa sebarang keuntungan kepada parti pun,” tegas Azmi.
Azmi sebelum ini pernah menggesa pimpinan parti untuk mengambil tindakan terhadap Wan Saiful susulan kenyataan pemimpin berkenaan yang disifatkannya sebagai menjatuhkan maruah dan menjejaskan kewibawaan perjuangan parti.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan individu seperti ini terus merosakkan imej parti. Saya mendesak pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas, termasuklah memecatnya, demi menjaga integriti, disiplin dan maruah perjuangan kita,” ujar beliau.

















