PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang RM3.8 juta kepada Sadaqa House Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bagi membantu meningkatkan keupayaan perniagaan dan taraf hidup hampir 1,000 usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan B40 di seluruh negara.
Sumbangan itu merupakan tambahan kepada dana awal berjumlah RM6.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM10.3 juta sejak 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, usaha itu selari dengan aspirasi TH sebagai sebuah institusi Islam yang bukan sahaja mengurus tabungan dan ibadat haji, tetapi juga memperkukuh kedudukan kewangan umat Islam melalui pelaburan dan agihan zakat.
“TH yakin pembangunan ummah perlu dilihat secara holistik, bukan hanya dalam aspek ibadat, tetapi juga pemerkasaan kewangan umat Islam.
“Sumbangan ini adalah pelaburan sosial jangka panjang demi kesejahteraan masyarakat dan keberkatan bersama,” katanya dalam kenyataan.
Dana sebelum ini telah menyokong pelaksanaan Program Pembangunan Keusahawanan ITEKAD (ITEKAD) yang memberi kesan berganda dalam menyokong kelangsungan usahawan mikro.
Ia telah mencatat pencapaian pembiayaan sehingga lebih RM12 juta disebabkan oleh kesan putaran (revolving effect).
Selain itu, dana sumbangan tersebut juga dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk termasuk pembiayaan mikro tanpa keuntungan berkonsepkan qardhul hasan dan geran perniagaan untuk usahawan mikro asnaf.
Ini turut merangkumi pembiayaan kos latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan serta kajian bagi meningkatkan keberkesanan program ITEKAD.
Kejayaan program tersebut terbukti apabila lebih 35 peratus peserta ITEKAD BangKIT, melibatkan 341 usahawan mikro, berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah mereka dalam tempoh setahun selepas menyertai program ini sejak 2020.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam, Mohd. Nazri Chik berkata, Bank Islam menghargai keyakinan berterusan TH dalam menjayakan Program ITEKAD, khususnya ITEKAD BangKIT.
“Sebagai pemegang saham terbesar, sokongan TH menjadi penggerak penting dalam memperkukuh usaha Bank Islam memastikan Sadaqa House terus memberi manfaat kepada masyarakat.
“Komitmen TH membolehkan kami memartabatkan kewangan sosial Islam seperti sedekah dan zakat sebagai penyelesaian kewangan inklusif yang mampan,” katanya.
Antara penerima manfaat program tersebut adalah Issnanie Pink Enterprise dan MA Jarum Emas.
Sumber – UTUSAN

















