KOTA KINABALU: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (TEKUN Nasional) menyalurkan RM1.25 bilion pembiayaan perniagaan kepada 66,992 usahawan di Sabah sejak 1998.
Pembiayaan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasakan usahawan mikro di negeri ini.
TEKUN Nasional dalam satu kenyataan berkata RM95 juta telah diagihkan kepada 1,750 usahawan di Sabah pada tahun ini sahaja.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berharap bantuan pembiayaan itu dapat membantu usahawan mengukuhkan operasi dan meluaskan pasaran perniagaan mereka.
“Semoga usahawan yang menerima pembiayaan hari ini dapat menggunakan peruntukan tersebut dengan sewajarnya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.”
“Usahawan yang masih mencari sumber kewangan untuk modal pusingan boleh datang ke pejabat TEKUN Nasional berhampiran untuk maklumat lanjut,” katanya.
Sepuluh usahawan TEKUN Nasional di negeri ini menerima pembiayaan RM29,000 pada Taklimat Pembiayaan TEKUN yang diadakan di Dewan Gopog, Tanginambur, Kota Belud semalam.
TEKUN Nasional juga menyasarkan untuk membantu 40,300 usahawan mikro di seluruh negara tahun ini melalui peruntukan RM330 juta yang diumumkan dalam Bajet 2025.
Peruntukan nasional ini termasuk RM150 juta diperuntukkan untuk 5,300 usahawan di Sabah.
Sejak ditubuhkan 27 tahun lalu, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM10.76 bilion pembiayaan perniagaan kepada 606,049 usahawan di seluruh negara.
Sumber – Bernama

















